Mahdzir Khalid, Maszlee antara dilantik terajui badan korporat negara


Dr Maszlee Malik dilantik kerajaan Perikatan Nasional sebagai pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

BEBERAPA pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan diumumkan Putrajaya hari ini menyaksikan kembalinya tokoh perniagaan, politikus Umno dan bekas menteri Bersatu ke dunia korporat negara.

Bekas menteri pendidikan yang juga Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid dilantik sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad berkuatkuasa 12 Mei ini.

Beliau menggantikan Ahmad Badri Mohd Zahir yang kini menjadi pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak 1 Mei lepas.

Sebelum ini dilaporkan yang jawatan pengerusi TNB itu ditawarkan kepada Timbalan Presiden Umno Mohmad Hassan yang menolaknya.

Selain itu, tokoh perniagaan Mohd Bakke Salleh pula dilantik sebagai pengerusi Telekom Malaysia berkuatkuasa 11 Mei 2020.

Beliau menggantikan Rosli Man yang meletak jawatan sejak menerajui syarikat telekomunikasi negara itu sejak Disember 2018.

“Mohd Bakke adalah tokoh korporat dihormati ramai dengan pengalaman luas dan dikenali dengan tadbir urus dan integriti tinggi.

“Beliau membawa bersama pengalaman luas industri dan komersial yang akan meluaskan dan mengayakan keseluruhan kepakaran lembaga pengarah,” kata TM dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Mara pula mengumumkan pelantikan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara Corp berkuatkuasa 15 Mei.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Mara baharu dilantik Azizah Mohd Dun yang juga ahli Parlimen Beaufort.

Turut dilantik dalam lembaga penasihat itu ialah Mohd Rafiq Naizamohideen, Ab Rakib Ahmad, Ahri Hashim dan Dr. Shahridan Faiez.

Manakala Dr Syed Muhamad Syed Kadir pula dilantik sebagai pengerusi Mara Corp.

Maszlee adalah menteri pendidikan ketika zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan, tetapi diminta berundur pada Januari lepas.

Perikatan Nasional yang kini berkuasa di Putrajaya membuat rombakan besar-besaran dalam GLC dengan menyingkirkan lantikan dibuat PH. – 8 Mei, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen