Dr Mahathir akui kurang sokongan untuk undi tak percaya 


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan berpendapat Muhyiddin Yassin tidak mempunyai sokongan majoriti ketika mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen kerana penyokongnya “dibayar” oleh Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri berkata Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Februari.

Bagaimanapun, beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu walaupun Pakatan menyatakan mereka ada jumlah yang cukup untuk menyokong Dr Mahathir bagi jawatan itu.

Terdahulu hari ini, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff berkata, beliau membenarkan notis usul Dr Mahathir untuk undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang Parlimen 18 Mei ini.

Usul itu sekarang dapat diajukan kepada ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan, sekali gus membuatkan pentadbiran Perikatan Nasional Muhyiddin yang berusia dua bulan berada di bawah tekanan.

Dalam satu video pendek selepas pengumuman Speaker, Dr Mahathir mengakui usulnya mungkin tidak mendapat sokongan kerana ia kini bersama Muhyiddin. 

“Pakatan Harapan mempunyai pendirian, tetapi kita berpendapat pada hari Muhyiddin angkat sumpah, dia menyatakan dia mempunyai majoriti,” katanya dalam video yang diberikan kepada The Malaysian Insight oleh sayap Pemuda Bersatu (Armada). Video itu dirakam awal hari ini.

“Mereka yang membuat deklarasi tidak menerima pelantikan itu lebih daripada setengah, seramai 114.

“Hari ini kita dapati kedudukan telah bertukar kerana Muhyiddin telah memberi jawatan tertentu kepada penyokong saya.

“Jadi dengan ini, maka jumlah penyokong saya sudah berkurangan. Mungkin kita akan kalah kerana apa yang dilakukan sebagai satu sogokan kerana mereka ini diberi jawatan menteri, timbalan menteri dan sebagainya supaya mereka memihak kepada Muhyiddin.

“Tetapi pada hari dia mengangkat sumpah, dia tidak mendapat sokongan mereka ini.”

Dr Mahathir mengakui yang beliau tidak ada masalah sekiranya Parlimen tidak mempunyai masa untuk membahaskan undi tidak percaya kepada Muhyiddin, tetapi beliau mahu rakyat Malaysia mengetahui kewujudan usul tersebut.

“Jadi kalau Tuan Speaker berpendapat masa yang diberikan itu tidak cukup, bertentangan dengan aturan peraturan, saya percaya ia tidak akan dibahas.

“Namun demikian, adalah penting satu penyataan dibuat supaya rakyat akan sedar ada pendapat yang sebegini (undi tak percaya kepada Muhyiddin),” kata bekas pengerusi PH itu.

Usul Dr Mahathir difailkan di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membenarkan Dewan Rakyat membentangkan usul bagi menentukan sokongan majoriti terhadap Muhyiddin.

Putrajaya bagaimanapun memberi bayangan yang usul tersebut berkemungkinan besar tidak sempat dibahaskan kerana sidang Dewan Rakyat 18 Mei akan memberi tumpuan kepada urusan kerajaan termasuklah pembentangan dua rang undang-undang berkaitan pakej rangsangan ekonomi menangani kesan Covid-19. – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen