Sidang 18 Mei utamakan urusan kerajaan, tiada masa untuk undi tak percaya


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata terdapat banyak perkara sudah ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat termasuk RUU pakej rangsangan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

URUSAN kerajaan akan diutamakan pada sidang Parlimen sehari 18 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan, hari ini.

Ini bermakna usul undi tak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kemungkinan besar tidak akan diperdebatkan walaupun sudah diterima speaker Dewan Rakyat.

“Yang di-Pertuan Agong akan merasmikan persidangan, kemudian dewan akan bersidang untuk menyelesaikan urusan-urusan kerajaan. Urusan kerajaan sahaja, kemudian ditangguhkan.

“Urusan kerajaan akan didahulukan. Kerajaan ada beberapa urusan (seperti) usul dan RUU,” katanya dipetik media pada sidang media taklimat agenda persidangan Parlimen yang diadakan hari ini.

Urusan kerajaan dijadualkan hari itu termasuk dua rang undang-undang tambahan untuk bacaan kali pertama. RUU tersebut berkaitan pakej rangsangan ekonomi diperkenal Putrajaya untuk menangani kesan wabak Covid-19.

Takiyuddin berkata bacaan kali kedua dan ketiga RUU tersebut akan diadakan pada sesi sidang Dewan Rakyat seterusnya Julai nanti.

Urusan kerajaan lain termasuklah pemilihan ketua pembangkang, pelantikan wakil rakyat pembangkang untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, usul menangguhkan perbahasan titah diraja dan pelantikan jawatankuasa pemilih Parlimen.

Takiyuddin berkata Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mengutamakan urusan kerajaan berbanding isu lain dibangkitkan wakil rakyat. – 8 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen