Azmin minta Kit Siang amal penjarakan politik dalam perang Covid-19


Azmin Ali kini berdepan kecaman kerana kenyataan sebelum ini yang mendakwa kerajaan negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak melaksana PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

AZMIN Ali menerusi Twitternya hari ini menyeru veteran DAP Lim Kit Siang mengamalkan “penjarakan politik” ketika negara sedang memerangi wabak Covid-19.

Lim sebelum ini dalam beberapa kenyataan menyifatkan Azmin sebagai “menyedihkan” kerana mengugut kerajaan negeri yang enggan mematuhi arahan Putrajaya supaya melonggarkan perintah kawalan pergerakan bagi membolehkan ekonomi kembali dibuka.

“Kit Siang patut berhenti mempolitikkan semua benda, terutama sekali ketika negara perlu dibina semula.

“Amalkan penjarakan politik juga,” kata Azmin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).

Azmin sebelum ini dalam ulasan terhadap situasi beberapa kerajaan negeri enggan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berkata negeri berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh syarikat.

Ketika ini, hanya dua Wilayah Persekutuan, Perlis, Terengganu, Kelantan dan Kedah yang melaksanakan PKPB bagi membuka semula ekonomi.

Negeri-negeri lain sama ada menangguhkannya atau memperkenalkan syarat tambahan berbanding yang dicadangkan oleh Majlis Keselamatan Negara, seperti Selangor, Melaka dan Perak.

Lim sebelum ini turut mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masuk campur dan mengadakan pertemuan dengan semua kerajaan negeri.

Presiden PKR Anwar Ibrahim turut mengecam ugutan Azmin itu, menyifatkannya angkuh dan menyamakan Azmin dengan Presiden AS Donald Trump. – 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen