59 persatuan, dewan perniagaan gesa negeri laksana PKPB


Semua negeri perlu melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat seperti diputuskan Putrajaya bagi membolehkan rantaian ekonomi bergerak semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

LIMA puluh sembilan persatuan dan dewan perniagaan menggesa semua negeri melonggarkan sekatan pencegahan dan pengawalan wabak Covid-19 dengan membenarkan pejabat dan perniagaan beroperasi semula, seperti yang diputuskan oleh Putrajaya bermula minggu ini.

Langkah membuka semula ekonomi, kata mereka, perlu berjalan serentak kerana rantaian bekalan dalam perniagaan saling berkait antara negeri.

“Perniagaan dan industri melengkapi ekonomi dan kesejahteraan sosial Malaysia dan perlu dibenarkan berfungsi secara berterusan.

“Kita perlu menyelamatkan jutaan pekerjaan dan memastikan perniagaan bernafas.

“Kita hanya boleh melakukannya jika semua pihak bersatu dan bertindak tegas untuk memastikan perniagaan diteruskan serta melindungi kesejahteraan rakyat,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan malam ini.

Kenyataan itu ditandatangani antaranya oleh Ter Leong Yap mewakili Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCM), dan Soam Heng Choon dari Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Ia juga ditandatangani oleh Ameer Ali Mydin dari Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Syed Hussein Al-Habshee dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), serta wakil-wakil persatuan industri automotif, pengilang dan peruncitan.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Michael Kang yang dihubungi oleh The Malaysian Insight mengesahkan kenyataan bersama itu.

Berlaku perbezaan pandangan antara negeri dan Putrajaya tentang kelonggaran perintah kawalan pergerakan bagi membolehkan ekonomi bergerak semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

Gesaan oleh 59 badan perniagaan itu dibuat ketika hanya Wilayah Persekutuan dan dua negeri – Perlis dan Terengganu – yang melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai semalam.

Negeri-negeri lain sama ada menangguhkannya atau memperkenalkan syarat tambahan berbanding yang dicadangkan oleh Majlis Keselamatan Negara, seperti Selangor, Melaka dan Perak.

Dalam kenyataan mereka, persatuan dan dewan perniagaan itu berjanji akan memastikan semua syarat dan tatacara operasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dipatuhi oleh pihak majikan.

Mereka yakin keputusan Putrajaya melonggarkan sekatan pergerakan yang dikenakan sejak 18 Mac lalu dibuat atas pertimbangan wajar antara kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Ia untuk menyelamatkan ekonomi daripada terus runtuh apabila syarikat tidak mampu terus ditutup dan terpaksa pula menanggung komitmen kewangan terutamanya gaji pekerja, kata mereka.

Semalam, menteri kanan ekonomi menegur negeri-negeri yang tidak melonggarkan kegiatan ekonomi selaras dengan langkah Putrajaya, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei.

Beliau membayangkan tindakan negeri-negeri itu bertentangan undang-undang dan berisiko dicabar di mahkamah oleh pemain industri.

Dua negeri penyumbang utama ekonomi Selangor dan Pulau Pinang bagaimanapun mempertahankan keputusan mereka dan sedia berdepan risiko disaman di mahkamah.

Sarawak hari ini mengumumkan akan membuka ekonomi negeri secara beransur-ansur mengikut peraturannya sendiri, sementara Sabah akan membuat keputusan menjelang 12 Mei ini.

Sekatan sebelum ini sepatutnya berkuat kuasa sehingga 12 Mei tetapi dilonggarkan bermula 4 Mei, lapan hari lebih awal.

Sementara itu, Kedah dan Kelantan hari ini mengumumkan akan melaksanakan PKPB seperti yang dianjurkan oleh Putrajaya selepas meneliti tatacara pelaksanaan.

Perselisihan pandangan antara Putrajaya dan negeri-negeri dalam soal membuka semula ekonomi minggu ini turut mencetuskan wacana mengenai kedudukan dan hubungan antara negeri dan Persekutuan.

Pemimpin DAP Liew Chin Tong malah menggesa negeri-negeri yang bersama Pakatan Harapan untuk mengambil episod ini sebagai langkah permulaan bertindak sebagai satu blok dalam menghadapi Putrajaya. – 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen