Pulau Pinang, Selangor pertahan langkah tidak ikut Putrajaya


Zaim Ibrahim

Tidak ramai yang dilihat menggunakan perkhidmatan awam LRT pada hari pertama perintah kawalan pergerakan bersyarat yang bermula semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

PULAU Pinang dan Selangor mempertahankan keputusan masing-masing tidak melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP), seperti keputusan Putrajaya yang bermula semalam.

Kedua-dua negeri juga sedia menghadapi tindakan mahkamah, kata ketua menteri dan menteri besarnya, jika ada pihak yang mahu menyaman kerajaan negeri atas keputusan mereka tidak membenarkan kegiatan ekonomi beroperasi semula sepenuhnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pihaknya sedia disaman jika langkah pentadbirannya tidak membenarkan kegiatan ekonomi dibuka semula semalam dianggap tidak betul.

Jelas beliau apa yang dilakukan oleh Pulau Pinang ialah mempertahankan kepentingan negeri dan rakyat daripada wabak Covid-19 yang masih lagi satu ancaman.

“Kerajaan negeri dan ketua menteri sedia disaman kerana kami melindungi nyawa penduduk Pulau Pinang. Pada masa sama, kami sedia melaksanakan pemulihan ekonomi di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB),” katanya dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pihaknya sedia disaman jika langkah pentadbirannya tidak membenarkan kegiatan ekonomi dibuka semula semalam dianggap tidak betul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata keputusan pentadbirannya tidak mengikuti sepenuhnya kelonggaran yang dibenarkan oleh Putrajaya adalah dalam bidang kuasa negeri.

“Saya percaya keputusan yang dibuat oleh kerajaan Selangor, berada dalam lingkungan dan bidang kuasa yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Kita membuat keputusan yang akan diubah suai (mengikut keadaan),” katanya, seperti dipetik oleh media di Shah Alam, hari ini. 

Semalam, Menteri Kanan Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri boleh disaman oleh syarikat atau mana-mana pihak kerana tidak sehaluan dengan Putrajaya melonggarkan PKP.

Chow menegaskan, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain yang tidak mengikuti PKPB bukan membantah tetapi hanya meminta masa supaya strategi yang kemas dapat dirancang bagi mengekang wabak itu.

Katanya, Pulau Pinang sebuah negeri yang padat penduduk mengikut bancian kebangsaan dan mempunyai risiko tinggi penularan Covid-19.

“Sebarang pelonggaran PKP perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi mengelakkan perebakan wabak akibat kesesakan orang ramai.

“Semua sektor memerlukan masa untuk membuat persiapan mematuhi SOP yang dikeluarkan,” tambahnya.

Chow juga berharap Azmin tidak menakut-nakutkan kerajaan sebaliknya menghormati mereka sebagai “rakan kongsi strategik” untuk memulihkan ekonomi negara.

“Kami mahu bekerja untuk memulihkan ekonomi, Azmin Ali buatlah keputusan sama ada anda mahu bersama-sama kami,” katanya.

Amirudin juga menjelaskan rasional keputusan Selangor membuat peraturan dan tatacaranya sendiri sebelum membenarkan kegiatan ekonomi digerakkan semula di negeri itu.

Katanya, pendekatan Selangor ialah membuka ekonomi secara beransur-ansur, dengan berhati-hati, selepas berjaya meratakan lengkungan jangkitan Covid-19.

Pendekatan Selangor ialah membuka ekonomi secara beransur-ansur, dengan berhati-hati, selepas berjaya meratakan lengkungan jangkitan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Mei, 2020.

Sementara itu, exco kerajaan Selangor Teng Chang Kim dalam satu kenyataan berasingan menjelaskan negeri mempunyai kuasa dan hak untuk tidak seiring dengan Putrajaya melonggarkan PKP.

Katanya, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan negeri terhadap urusan pihak berkuasa tempatan dan kebersihan, kesihatan serta pencegahan penyakit berjangkit.

Semua kuasa dan hak itu juga diberikan demi kepentingan umum, katanya, memetik peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Tiada konflik atau percanggahan apabila kerajaan negeri mengenakan syarat tambahan ke atas PKPB melalui kerajaan tempatan,” katanya.

Teng ialah pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana.

Semalam, dalam kenyataannya, Azmin menegaskan PKPB dilaksanakan atas kuasa Menteri Kesihatan yang dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang terpakai kepada semua negeri.

Semalam, hanya tiga Wilayah Persekutuan dan tiga negeri – Perlis, Melaka, dan Terengganu – melonggarkan PKP sementara negeri-negeri lain sama ada mengubah suai kelonggaran itu atau menangguhkan pelaksanaannya.

Sabah juga mempertahankan kuasa dan hak negeri dalam soal ini, sementara Sarawak, yang juga tidak melaksanakan PKPB, dijangka mengumumkan satu keputusannya mengenainya petang ini.

PKPB antara lain memansuhkan sekatan pergerakan terhad dalam lingkungan 10km sebaliknya membenarkan hampir semua perniagaan beroperasi semula selepas dilarang sejak 18 Mac lalu. – 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen