Isu Pulau Batu Puteh tak jejas hubungan Malaysia-Singapura


Amin Iskandar

Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan berkata permohonan Malaysia menyemak semula keputusan ICJ berhubung isu Pulau Batu Puteh tidak menjejaskan hubungan antara dua negara. – Gambar Kementerian Luar Singapura, 24 November, 2017.

PERMOHONAN Malaysia bagi menyemak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura tidak menjejaskan hubungan antara kedua negara, kata menteri luar republik itu, Dr Vivian Balakrishnan.

Dr Balakrishnan berkata walaupun kedua-dua negara membuat tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Puteh, kepimpinan tertinggi Singapura dan Malaysia masih lagi berhubungan baik.

“Terdapat perbezaan, tetapi Perdana Menteri Najib Razak dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong masih berjumpa dan sering berkomunikasi. Mereka baru saja berjumpa.

“Saya juga selalu berjumpa dengan Menteri Luar Anifah Aman, dan menggunakan WhatsApp,” kata Dr Balakrishnan kepada sekumpulan pemberita dari negara Asean pada satu pertemuan di Singapura semalam.

Isnin lalu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyelar tindakan perdana menteri Singapura yang mengaitkan pilihan raya umum Malaysia akan datang dengan permohonan semakan keputusan ICJ berhubung Pulau Batu Puteh.

Khairy berkata komen Lee, yang dibuat pada majlis Anugerah dan Konvensyen PAP pada Ahad lalu, adalah tuduhan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali bersetuju dengan kenyataan Khairy, berkata permohonan semakan semula kes kedaulatan Pulau Batu Puteh di ICJ tiada sebarang kaitan dengan politik sebaliknya dibuat semata-mata berasaskan pada kedudukan undang-undang.

Dr Balakrishnan bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu itu.

“Saya tiada komen tambahan dari apa yang perdana menteri saya katakan hujung minggu lalu.

“Tetapi apa yang lebih signifikan di sebalik isu ini ialah Malaysia dan Singapura mampu menyelesaikan pertikaian secara aman, dengan menggunakan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Katanya, apa yang lebih penting Malaysia dan Singapura menggunakan pendekatan aman dalam menyelesaikan pertindihan tuntutan.

“Ini kerana kita sangat yakin dengan undang-undang antarabangsa”.

Februari lalu peguam negara mengumumkan Malaysia memfailkan semakan semula di ICJ berdasarkan penemuan tiga bukti baru yang sebelum itu tidak ada semasa mahkamah dunia mendengar kes berkenaan pada 2008.

Tiga bukti yang diajukan Malaysia bagi permohonan semakan semula berkenaan diperoleh daripada National Archives United Kingdom antara 4 Ogos, 2016 dan 30 Januari, 2017.

Bukti itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada tahun sama dan sebuah peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an.

Dokumen berkenaan membuktikan Pulau Batu Puteh ataupun Pedra Branca, bukan sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura. – 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • isu Pulau Batu Puteh telah sengaja dikaitkan dengan politik yang melibatkan pilihan raya umum bagi melahirkan sentimen bencikan kerajaan sedia ada. jadi kita sebagai rakyat haruslah berfikiran rasional dari termakan hasutan jahat dan perlu mendapatkan maklumat dengan tepat

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan