PUTRAJAYA tidak boleh memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerajan Bersyarat (PKPB) kerana kerajaan negeri dan persekutuan mempunyai kuasa bersama dalam perkara melibatkan kesihatan awam dan pencegahan penyakit, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata hal itu diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mengkritik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin yang semalam memberi amaran kerajaan negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak terutamanya pemain industri jika tidak melaksanakan PKPB.
“Azmin tidak faham perlembagaan.
“Beliau sepatutnya mengambil perhatian kenyataan Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Negeri-Negeri Dan Persekutuan Parlimen Hassan Abdul Karim, yang berkata kerajaan negeri dan persekutuan mempunyai kuasa bersama di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Isu kesihatan awam dan pencegahan penyakit tertakluk di bawah Senarai Bersama (Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan). Bermaksud kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai kuasa bersama dalam perkara ini,” kata Lim.
Azmin malam tadi berkata kerajaan negeri boleh berdepan dengan kemungkinan tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak terutamanya pemain industri sekiranya enggan bekerjasama melaksanakan PKPB.
Menurut Lim, Putrajaya tidak boleh hanya merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk memaksa negeri mengikuti keputusan kerajaan.
Tambah beliau, walaupun Azmin berkata menteri besar dan ketua menteri hadir pada mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara pada 28 April lalu, tetapi tiada kata sepakat mengenai pelaksanaan PKPB.
“Tiada kesepakatan dicapai pada mesyuarat itu mengenai bagaimana sektor ekonomi perlu dibuka semula di bawah PKPB.
“Mesyuarat kedua ketua menteri ketua menteri dan menteri bear perlu diadakan sebelum menarik PKP dan melaksanakan PKPB pada 4 Mei.
“Ini yang sepatutnya Azmin lakukan sekarang bukannya mengeluarkan amaran tindakan undang-undang malam tadi.” – 5 Mei, 2020.
Komen