KETIADAAN alat ujian Covid-19 dan barisan menunggu yang panjang bagi menjalani ujian adalah antara kebimbangan majikan yang dikehendaki memastikan pekerja mereka menjalani ujian sebelum memulakan operasi ketika ekonomi dibuka semula kepada perniagaan pada Isnin.
Majikan yang dibenarkan menyambung operasi dikehendaki memastikan semua pekerja menjalani saringan di mana-mana 3,000 klinik kesihatan panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Proses saringan dimulakan sejak 27 April.
Tetapi kumpulan majikan memberitahu The Malaysian Insight, kit ujian pantas masih tiada di kebanyakan klinik sementara terdapat senarai menunggu yang panjang di klinik lain.
Mereka meluahkan kebimbangan jika semua pekerja tidak diuji tepat pada waktunya akan menyebabkan majikan dikenakan penalti.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan semalam kerajaan akan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula mulai 4 Mei.
Beliau berkata semasa penutupan yang berlangsung selama hampir tujuh minggu, negara kerugian RM2.6 bilion sehari, iaitu RM63 bilion sejak 18 Mac, ketika perintah itu dikuatkuasakan.
“Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion,” kata Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Pekerja yang disiarkan secara langsung di TV nasional dan satelit.
Pengerusi Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata majikan dimaklumkan oleh doktor di klinik panel yang mereka belum menerima kit ujian pantas yang diperlukan untuk pemeriksaan.
“Ramai ahli kami menghubungi doktor panel Perkeso, tetapi jawapannya sama - alat ujian belum ada, jadi mereka tidak dapat menjalankan ujian,” kata Shamsuddin kepada The Malaysian Insight.
Bayaran perundingan dan kos kit ujian akan ditanggung oleh Perkeso.
Selain faktor kos, Shamsuddin berkata majikan tidak dapat menghantar kakitangannya untuk menjalani pemeriksaan di kemudahan kesihatan swasta kerana diarahkan untuk melakukannya di klinik panel Perkeso.
“Ini menimbulkan banyak kekeliruan. Majikan berasa bimbang untuk memulakan operasi kerana kakitangannya belum diuji,” katanya.
Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata dianggarkan terdapat 400,000 pekerja dibenarkan untuk kembali bekerja semasa PKP.
“Terdapat juga kebimbangan jika terdapat alat ujian yang mencukupi untuk menampung semua pekerja yang perlu diuji di bawah Fasa 1 Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Tambahan pula, syarikat yang dibenarkan beroperasi di bawah PKP Fasa 1, 2 dan 3 terletak di zon merah dan kuning, dan syarikat yang menggaji pekerja asing, adalah sebahagian besar syarikat dibenarkan beroperasi di bawah PKP,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Putrajaya memesan hingga 200,000 kit ujian pantas antigen dari Korea Selatan tetapi juga difahamkan kira-kira 400,000 pekerja dibenarkan untuk kembali bekerja pada fasa ketiga PKP.
“Tidak jelas apakah kerajaan sudah memesan lebih banyak kit ujian memandangkan jumlah yang perlu diuji lebih tinggi,” tambahnya.
Soh berkata, Perkeso hanya meluluskan BP Healthcare Centres sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan untuk saringan fasa pertama dan ia hanya mempunyai 37 pusat diagnostik di seluruh negara.
Justeru kata Soh, ia menyebabkan senarai menunggu kerana beberapa syarikat tidak dapat menghubungi penyedia perkhidmatan untuk meminta temujanji kerana talian telefon sentiasa sibuk.
Beliau berkata kebanyakan majikan memilih untuk melakukan pemeriksaan di premis mereka berbanding menghantar pekerja ke pusat-pusat yang ditentukan untuk mengelakkan gangguan operasi. – 2 Mei, 2020.
Berita penuh di sini
Komen