Pekerja waktu PKP wajib saringan Covid-19, kata Azmin


Pekerja yang perlu bekerja waktu PKP diwajibkan melakukan saringan Covid-19, kosnya akan ditanggung Perkeso. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2020.

SEMUA pekerja yang dibenar bertugas sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan perlu menjalani saringan kesihatan Covid-19, kata Menteri Kanan Azmin Ali.

Kos ujian saringan berkenaan dijamin akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan saringan perlu mematuhi panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya.

“Majikan yang memohon untuk beroperasi perlu memastikan pekerja menjalani saringan di lebih 3,000 panel klinik kesihatan Perkeso di seluruh negara mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.”

Katanya, kebenaran beroperasi akan ditarik balik jika syarikat gagal mematuhi garis panduan tersebut, selain berdepan tindakan undang-undang.

Tambahnya, tidak lebih daripada 50% jumlah pekerja sesuatu syarikat yang dibenar beroperasi waktu PKP tahap tiga dibenarkan bertugas pada satu-satu masa.

Beliau juga berkata sebanyak lebih 18,000 permohonan diterima melalui laman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri setakat ini.

Jumlah itu bagi industri tambahan yang dibenar beroperasi untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tahap tiga.

Seramai 12,000 permohonan lagi diterima untuk beroperasi bagi tahap sebelumnya, kata beliau.

Syarikat yang sudahpun mendapat kebenaran beroperasi sewaktu PKP tahap satu dan dua tidak perlu lagi memohon, katanya. – 16 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen