Inspektor polis didakwa rogol 2 wanita Mongolia


Bede Hong

Inspektor polis Hazrul Hizham Ghazali (baju lengan pendek) berdepan pertuduhan merogol dua wanita Mongolia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 April, 2020.

INSPEKTOR polis Hazrul Hizham Ghazali dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan merogol dua wanita Mongolia yang didakwanya ditahan semasa sekatan jalan raya tiga minggu lalu.

Kedua-dua wanita tersebut mendakwa diperkosa beberapa kali di bilik berasingan di Hotel PJ Luxe pada 11 April selepas mereka ditahan sehari sebelumnya.

Tertuduh berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melanggar Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan kerana merogol seorang warganegara Mongolia berusia 20 tahun.

Hazrul kemudian dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menganiaya wanita yang sama di khemah sekatan jalan raya di plaza tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) Petaling Jaya Selatan 2 (PJS2).

Beliau kemudian didakwa dengan dua tuduhan merogol wanita kedua, seorang warga Mongolia berusia 36 tahun.

Beliau berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Hakim Norshila Kamaruddin menetapkan jaminan RM27,000, atau RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 2 Jun untuk pengurusan kes.

Hazrul yang muncul memakai baju T biru dan berseluar jeans, tidak bercakap dengan media. 

Beliau juga memakai topeng muka, seperti mana orang lain di ruang mahkamah.

Selain dua wartawan, media tidak dibenarkan duduk di galeri awam bagi menjaga penjarakan sosial. – 30 April, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen