Ekonomi akan mula dibuka berperingkat dengan SOP baharu, kata Dr Noor Hisham


Chan Kok Leong

Semua sektor akan dibenarkan beroperasi secara berperingkat ketika negara sedang memasuki fasa pemulihan ekonomi kerana wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2020.

SEKTOR ekonomi lain seperti perkhidmatan, pengangkutan dan peruncitan akan dibuka secara berperingkat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Prosedur operasi standard (SOP) untuk membuka semua perkhidmatan sudah ada. Yang kita perlu buat sekarang adalah buka sektor secara berperingkat dimulakan dengan pembinaan dan industri besar.

“Selepas itu, kita akan mula buka sektor perkhidmatan, perlahan-lahan tetapi akan dibuat,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga faktor diambil kira dalam pengurusan darurat kecemasan seperti mana ditetapkan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).

“WHO tengok kadar kematian, kadar jangkitan dan kesan ekonomi sebelum isytiharkan pandemik.

“Di Malaysia pun, kita tengok faktor sama.”

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan menjangkakan jangkitan akan memuncak pada pertengahan April.

Tetapi, jangkaan itu tidak menjadi kenyataan kerana usaha pencegahan yang diambil dan KKM kini sedang meneliti usaha pencegahan wabak pada peringkat pemulihan.

“Sekarang kita galakkan sektor ekonomi untuk terus berfungsi seperti biasa tetapi dengan SOP kesihatan baharu seperti penjarakan sosial, standard kebersihan lebih baik, pemeriksaan suhu badan dan lain-lain.”

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Miti yang sektor terpilih yang dibenarkan beroperasi pada kapasiti terhad sepanjang perintah kawalan pergerakan akan boleh beroperasi pada kapasiti penuh bermula esok. – 28 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen