Putrajaya benar sektor terpilih beroperasi penuh mulai esok


Semua syarikat wajib mematuhi SOP yang merangkumi jarak fizikal pekerja dan langkah berjaga-jaga kebersihan, kata Mohamed Azmin Ali.

PUTRAJAYA memutuskan sektor yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti terhad semasa tiga fasa pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh beroperasi penuh mulai esok.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali berkata syarikat yang sudah mempunyai kelulusan untuk beroperasi tidak perlu memohon semula kebenaran daripada kementerian.

“Menyedari keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa, kerajaan bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi pada PKP Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semua syarikat masih wajib mematuhi syarat di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) sektor masing-masing yang merangkumi jarak fizikal pekerja dan langkah berjaga-jaga kebersihan.

Kegagalan mematuhi SOP akan menyebabkan permit ditarik balik dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan ‘kebiasaan baharu’ dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” kata Azmin.

Keputusan itu dibincangkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan kemudian diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri dan dihadiri oleh semua menteri Kabinet dan ketua menteri.

Kata Azmin, inisiatif itu akan mendorong pemulihan rantaian bekalan barang dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa.

Ini katanya akan memberi kesan positif kepada organisasi perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

PKP bermula pada 18 Mac masuk fasa keempat esok yang dilanjutkan hingga 12 Mei. – 28 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen