SEBUAH sayap pemuda parti politik di Pulau Pinang dan sebuah badan belia di Pahang akan membuat laporan polis berhubung kenyataan berbaur jelik dan hina terhadap mufti di kedua-dua negeri itu, esok.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata pihaknya akan membuat laporan polis selepas Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor dihina kerana membela pelarian etnik Rohingya.
“Komen-komen terhadap Mufti Pulau Pinang di Facebook sangat teruk dan tidak bertamadun, sebab itu AMK Pulau Pinang terpanggil untuk buat laporan polis,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelas Fahmi, laporan polis akan dibuat di balai polis Seberang Perai dan George Town.
“Kami akan sertakan nama-nama profil di Facebook yang kami nampak membuat komen terlalu kurang ajar kepada mufti,” tambahnya.
Wan Salim dan Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman semalam dipetik media mengingatkan umat Islam akan ajaran agama yang menuntut mereka agar sentiasa bersimpati dan berkasih sayang antara satu sama lain.
Laporan Free Malaysia Today bertajuk “Cuba letak diri di tempat pelarian, mufti gesa tolak xenofobia” itu mengundang komen berbaur penghinaan terhadap dua mufti itu.
Mereka mengeluarkan peringatan itu susulan kecaman terhadap pelarian Rohingya, yang dipercayai berpunca daripada berita palsu yang mendakwa etnik dari Myanmar itu menuntut hak sama rata sebagai warganegara serta kerakyatan penuh di Malaysia.
“Cubalah letakkan diri kita di tempat saudara kita yang terpaksa melarikan diri dari tanah air mereka seperti pelarian Rohingya ini,” kata Wan Salim dalam laporan itu.
Sementara itu di Pahang, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, walaupun tiada pihak akan bersetuju dengan tuntutan etnik Rohingya itu, jika benar, mengeluarkan kenyataan yang jelik kepada mufti adalah tidak wajar.
“Orang yang kutuk mufti ini tindakan tidak wajar. Mereka (mufti) merupakan sumber rujukan agama.
“Kita akan ambil tindakan dari sudut undang-undang termasuk buat laporan polis, jika ada tindakan pihak ini yang melampau dan melabel mufti berkaitan isu Rohingya,” jelasnya kepada The Malaysian Insight.
Awal hari ini, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata polis akan menyiasat semua kenyataan dan pengucapan berbaur kebencian terhadap pelarian Rohingya, yang muncul di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Saya pun hairan. Kedatangan Rohingya ke negara kita bukan baru semalam tetapi telah pun bertahun-tahun sebelum ini. Sebelum ini tidak timbul pun isu sebaliknya mendapat simpati.
“Tetapi akhir-akhir ini, sewaktu PKP (perintah kawalan pergerakan), tiba-tiba isu ini menjadi besar dan ini juga menghairankan pihak polis,” katanya.
Sentimen kebencian terhadap pelarian Rohingya mula dikesan di media sosial tidak lama selepas pihak berkuasa keselamatan berjaya menyekat percubaan sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya untuk masuk ke perairan negara, lebih kurang 130km dari Pulau Langkawi, pada 16 April lalu.
Tindakan itu dikritik oleh beberapa pertubuhan hak asasi manusia serta wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Eric Paulsen sebagai tidak berperikemanusiaan.
Susulan itu, pelbagai kenyataan dan ucapan berbaur perkauman dan kebencian di media sosial yang mengecam pelarian Rohingya mula tersebar di media sosial, termasuk melalui program bual bicara di saluran radio agensi berita nasional Bernama.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan menyiasat Bernama Radio kerana didakwa melanggar kod kandungan penyiaran.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan kelompok Rohingya di Malaysia kini hidup dalam ketakutan diancam nyawa dan keselamatan susulan sentimen kebencian yang ditiup terhadap mereka kebelakangan ini. – 27 April, 2020.
Komen