Penolong amil fitrah dilantik bantu golongan kurang mahir teknologi bayar zakat


LZS melaksanakan melantik penolong amil fitrah sejak 1 Ramadan lepas bagi memudahkan pengeluar zakat terutamanya warga emas yang tidak mahir menggunakan teknologi, menunaikan kewajipan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2020.

GOLONGAN kurang mahir dengan teknologi boleh membayar zakat fitrah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada penolong amil fitrah yang dilantik di 431 masjid dan surau di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop berkata pelaksanaan kaedah pembayaran berkenaan dimulakan sejak 1 Ramadan lepas bagi memudahkan pengeluar zakat terutamanya warga emas yang tidak mahir menggunakan teknologi, menunaikan kewajipan mereka.

“Sebanyak 1,878 penolong amil fitrah dibenarkan untuk mengutip zakat fitrah sepanjang PKP. Mereka hanya beroperasi di masjid dan surau pada waktu pagi bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi selain pukul 2 petang hingga 4 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, LZS mengumumkan pembayaran zakat fitrah tahun ini dibuat secara dalam talian menerusi laman web EZakatPay atau secara perbankan internet, portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost. 

Bagaimanapun, kata Saipolyazan, kaedah kutipan zakat fitrah melalui penolong amil fitrah adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) LZS serta garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata antara SOP LZS adalah penolong amil fitrah mestilah berumur tidak lebih 60 tahun, tidak mempunyai penyakit kronik, sihat serta tidak mempunyai gejala demam sewaktu bertugas. 

“Pembayar zakat dan penolong amil fitrah juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan pensanitasi tangan.

“Pembayar zakat juga digalakkan menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar sejurus urusan selesai,” katanya. – Bernama, 27 April, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen