RM600,000 hasil cukai pelancongan selepas sebulan dilaksana, kata Nazri


Diyana Ibrahim

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata jumlah kutipan cukai pelancongan berada dalam fasa yang agak perlahan memandangkan masih ada lagi hotel tidak berdaftar dengan kementeriannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2017.

SEJAK secara rasmi dilaksanakan pada 1 September lalu, sebanyak RM600,000 hasil cukai pelancongan berjaya dikutip, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri berkata, jumlah kutipan cukai pelancongan berada dalam fasa yang agak perlahan memandangkan masih ada lagi hotel tidak berdaftar dengan kementeriannya.

“Setakat ini kita dapat RM600,000 untuk bulan pertama. Kita agak perlahan (kutipan) tapi kerana kita baru mula.

“Mereka (hotel) kini sedang dalam proses (daftar). Tapi kita belum kutip dari hotel yang belum daftar lagi, contoh seperti Airbnb,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.

Sebelum ini Nazri berkata sejumlah RM210 juta hasil pendapatan daripada pungutan cukai itu dijangka dikutip setiap tahun.

Tambah beliau lagi, kementeriannya akan memberi tempoh selama dua bulan kepada hotel termasuk penginapan Airbnb untuk mendaftar.

“Kita beri mereka tempoh dua bulan tapi macam mana pun buat masa kini kita tetap kena kutip juga.” – 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Cara paling senang dan tak payah berfikir bagi menteri.umno..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan