Warga asing di PKPD sekitar pasar borong dapat bantuan makanan, kata Annuar Musa


Diyana Ibrahim

Warga asing yang menghuni di kawasan sekitar Pasar Borong Selayang akan menerima bantuan asas selepas lokasi itu diletakkan di bawah PKPD sejak Isnin lalu sehingga 3 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2020.

WARGA asing yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Pasar Borong Selayang akan menerima bantuan barangan asas termasuk beras, kata Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pengagihan bekalan makanan kepada warga asing itu merupakan bantuan kemanusiaan.

“Bekalan barangan asas seperti beras, tepung gandum, minyak dan sardin akan diberikan kepada penduduk bukan warganegara atas dasar kemanusiaan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Annuar berkata bagi penduduk tempatan, langkah penambahbaikan dilakukan dengan pengagihan makanan akan dibuat seminggu sekali oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Rela.

Beliau turut memberi jaminan bekalan makanan yang akan diagihkan itu adalah mencukupi kepada penduduk.

“Bahan makanan yang ditambah sebanyak 13 barang adalah cukup untuk tempoh satu minggu.

“Untuk PKPD ini maksudnya ada dua kali penghantaran dan pengagihan bekalan makanan yang akan disampaikan secara berperingkat.

“Saya sendiri sudah periksa kesemua bekalan makanan tersebut dan rasa ia mencukupi dalam tempoh seminggu,” katanya.

Kawasan sekitar Pasar Borong Selayang itu diletakkan di bawah PKPD sejak Isnin lalu sehingga 3 Mei selepas peningkatan jumlah kes Covid-19 di lokasi itu. 

Hari ini, Ismail Sabri  mengumumkan enam lagi kawasan kediaman berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),

Katanya, PKPD yang berkuatkuasa hari ini sehingga 3 Mei itu meliputi kawasan di Selayang Indah, Selayang Baru dan Selayang Makmur dalam daerah Gombak untuk saringan Covid-19.

The Malaysian Insight minggu lepas melaporkan luahan kira- kira 2,000 penghuni pangsapuri Seri Murni di Selayang merayu bantuan selepas kawasan mereka diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan PKPD.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, ramai tidak dapat membeli stok makanan dan barang keperluan lain dan terdapat penghuni dengan penyakit serius yang memerlukan perhatian segera, juga menyebabkan kesukaran. – 25 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen