Ahli Parlimen Batu dijemput bincang agihan bantuan di Selayang


Pangsapuri Seri Murni dan lapan kawasan di Selayang diletakkan di bawah PKPD bermula 20 April hingga 3 Mei untuk membolehkan pengesanan dan pengujian Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

AHLI Parlimen Batu, P Prabakaran dijemput oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghadiri perbincangan mengenai pengagihan bekalan kepada penduduk Taman Seri Murni di Selayang.

Ini berlaku dua hari selepas beliau  ditangkap kerana disyaki campur tangan perjumpaan peringkat tertinggi mengenai pengagihan bekalan di kawasan yang berada di bawah kawasan pilihan rayanya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM kerana menjemput saya selaku wakil rakyat di kawasan tersebut untuk berbincang hal-hal bantuan walaupun ini hari ketiga perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Dalam mesyuarat tersebut, saya akan bangkitkan isu-isu seperti makanan yang tidak dicukupi oleh Penduduk Seri Murni, pesakit-pesakit kritikal yang memerlukan bantuan perubatan segera dan bantuan makanan JKM yang tidak sampai ke Fasa 1 dan 2 sehingga sekarang. “

Pangsapuri Seri Murni di utara Kuala Lumpur dan lapan kawasan di Selayang - semuanya di bawah kawasan Batu - diletakkan di bawah PKPD bermula 20 April hingga 3 Mei untuk membolehkan pengesanan dan pengujian Covid-19.

Ia melibatkan kawasan perumahan dan pembangunan bercampur dengan rumah kos rendah dan sederhana serta lot kedai.

Prabakaran ditahan ketika melawat kawasan itu dua hari lalu, yang menurutnya dilakukan setelah menerima aduan daripada penduduk mengenai PKPD tersebut.

Dilaporkan beliau ditahan oleh polis di tempat kejadian selepas bertengkar dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar.

Namun, Edmund menafikan berlaku bertengkaran dan Prabakaran memasuki pusat kawalan di Selayang, yang berada PKPD, ketika pelbagai agensi membincangkan mengenai data sensitif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 28 kes Covid-19 dan satu kematian didaftarkan di daerah ini dan sebanyak 2,064 sampel sudah diambil daripada penduduk.

Sementara itu, Prabakaran hari ini berkata beliau mendesak semua agensi kerajaan memberikan bantuan kepada rakyat Seri Murni, yang kebanyakannya adalah penduduk tempatan.

Beliau juga menggesa penduduk di sana mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa. – 22 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen