Rancang jadual pelajar balik kampung, kata Dr Noor Hisham


Ragananthini Vethasalam

Dr Noor Hisham Abdullah berkata kepulangan pelajar ke kampung hendaklah dirancang rapi untuk mengelakkan kesesakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2020.

KERAJAAN memastikan pelajar universiti dan kolej yang terkandas di kampus akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) pulang ke kampung masing-masing dalam keadaan terkawal, kata ketua pengarah kesihatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata kepulangan pelajar ke kampung hendaklah dirancang rapi untuk mengelakkan kesesakan.

“Kita tahu beberapa pelajar di universiti berada di kampus selama empat minggu.

“Apa yang penting adalah merancang jadual untuk mereka pulang ke kampung masing-masing,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata tiada kluster jangkitan dikesan dalam kalangan pelajar di kampus.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan sama membenarkan pelajar pulang beramai-ramai seperti sebelum ini.

Terdahulu hari ini Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mungkin akan membenarkan hampir 100,000 pelajar universiti dan kolej yang masih berada di kampus pulang.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada peraturan yang akan ditetapkan oleh kerajaan, katanya.

Ismail Sabri berkata peraturan dan tatacara itu akan diteliti bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan.

Beliau membayangkan peraturan itu merangkumi saringan kesihatan dan jadual kepulangan bagi mengelak pergerakan beramai-ramai secara serentak. – 21 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen