Kerajaan teliti SOP benarkan pelajar IPT pulang kampung, kata Ismail Sabri


Kementerian Pengajian Tinggi dan KKM akan meneliti peraturan dan tatacara bagi membolehkan hampir 100,000 pelajar yang terkandas pulang ke kampung masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2020.

HAMPIR 100,000 pelajar universiti dan kolej yang masih tersangkut di kampus sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula lebih sebulan lalu mungkin akan dibenarkan pulang, tertakluk kepada peraturan yang akan ditetapkan oleh kerajaan, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, peraturan dan tatacara itu akan diteliti bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ada kemungkinan kita boleh membenarkan mereka pulang. Bagaimanapun kita mahukan satu SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, memaklumkan perkembangan PKP.

Ismail membayangkan peraturan itu merangkumi saringan kesihatan dan jadual kepulangan bagi mengelak pergerakan beramai-ramai secara serentak.

“Itu antara perkara yang kita lihat dan kita minta perundingan antara KPT dan KKM supaya kita lihat bagaimana kita hendak bantu pelajar ini pulang,” katanya.

Kelonggaran sama juga kata Ismail mungkin akan diberikan kepada orang awam yang telah berada di kampung sejak sebulan lalu.

PKP yang bermula pada 18 Mac lalu kini memasuki hari ke-35.

Jelas Ismail, mesyuarat harian menteri mengenai pelaksanaan PKP hari ini telah mendapatkan semula pandangan daripada KKM, seminggu selepas fasa ketiga PKP berjalan.

Seminggu yang lalu, semasa ditanya mengenai kedudukan pelajar yang terkandas di kampus masing-masing, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mencadangkan usaha membawa pulang pelajar yang tersangkut di universiti dan kolej ditangguhkan dahulu.

Beliau meminta ruang untuk pihaknya meneliti dahulu data terkini PKP fasa ketiga, yang pada pandangannya patut lebih diperketatkan.

Dalam tempoh seminggu yang lalu, data yang dilaporkan dari hari ke hari oleh Noor Hisham menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh semakin bertambah sementara jangkitan baharu semakin berkurangan.

Sesetengah negeri juga tidak mempunyai kes jangkitan baharu dalam masa beberapa hari berturut.

Setakat semalam, 98 lagi pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan keseluruhan kes pulih meningkat kepada 3,295 atau bersamaan 60.74% daripada 5,425 kes. – 21 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen