Kekeliruan di Pasar Borong KL punca bekalan sayur segar kurang


Sheridan Mahavera Khoo Gek San

KEKELIRUAN sama ada Pasar Borong Kuala Lumpur dibuka seperti biasa atau sebaliknya menyebabkan pemborong dan pembekal menghentikan sementara perniagaan mereka di hab pemasaran popular itu.

Gangguan perniagaan ini dijangka akan menyebabkan kekurangan bekalan sayur-sayuran tempatan di Lembah Klang sehingga hujung minggu ini kerana mereka dimaklumkan pasar berkenaan ditutup sehingga Jumaat.

Kerajaan Perikatan Nasional bertegas pasar berkenaan dibuka seperti biasa namun pemborong yang pergi ke pasar itu semalam memaklumkan mereka dilarang masuk.

“Tiada satu lori atau kereta pun dibenarkan masuk. Kami terpaksa parkir di tepi jalan dengan bekalan,” kata Presiden Persatuan Pemborong Sayur Malaysia Chong Tek Keong.

Chong memberitahu The Malaysian Insight ahli persatuan itu menerima arahan daripada pihak berkuasa bahawa pasar itu ditutup sehingga Jumaat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di kawasan Selayang sehingga 3 Mei.

Disebabkan itu, pemborong yang menjadikan pasar berkenaan sebagai pusat edaran dan logistik antara petani di Cameron Highlands dan peniaga di Lembah Klang, terpaksa menghentikan perniagaan sementara, katanya.

Ini bermakna bekalan sayur-sayuran tempatan, buah-buahan dan ikan segar ke kedai runcit dan pasar mini dari Ampang ke Klang dihentikan sehingga Jumaat, kata Chong.

Presiden Persatuan Peniaga Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt memberitahu The Malaysian Insight, pasar berkenaan turut membekalkan sayuran import dari China, Australia dan Thailand ke Lembah Klang.

Sementara itu Ching berkata, walaupun pasar berkenaan dibuka semula pada Jumaat, hanya peniaga rakyat Malaysia yang dibenarkan masuk.

Anggota tentera memasang kawat duri di sekeiling kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain,  20 April, 2020.

Menurutnya, perkara itu disampaikan kepadanya yang menutup pasar itu pagi semalam.

“Pekerja asing masih dikuarantin,” kata Chong.

“Jadi jika pasar dibuka pada Jumaat kita hanya boleh mula berniaga kecil-kecilan kerana kekurangan pekerja. Ahli kita juga enggan tempah daripada pekebun di Cameron Highlands sehingga pasar dibuka semula.

“Kami mohon maaf sekiranya pelanggan kami dan rakyat Malaysia umumnya berdepan masalah kekurangan sayur-sayuran. Kami harap mereka bersabar.

“Tiada siapa yang dipersalahkan. Tindakan kerajaan menutup kawasan itu adalah betul untuk menyelamatkan nyawa dan kita patuhinya.

“Kita tutup perniagaan bukan sebab kita mahu, tetapi kerana ahli kita dan pekerja juga takut dijangkiti virus,” kata Chong dan menambah setakat ini, tujuh peniaga disahkan positif Covid-19.

Petani turut terjejas

Pembekal sayur dan ikan daripada negeri lain tidak akan terjejas kerana mereka mendapat bekalan dari kawasan lain, kata Chong.

Rangkaian pasaraya seperti Tesco, Giant dan NSK mungkin mampu mengekalkan bekalan mereka kerana mereka beli terus daripada petani, kata Chong.

PKPD diumumkan semalam oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, yang berkata kawasan sekitar pasar berkenaan turut dikenakan perintah berkenaan bagi membolehkan penduduknya menjalankan ujian saringan.

Kira-kira 15,000 penduduk kawasan berkenaan akan menjalani ujian saringan selepas satu kematian dan 28 jangkitan dilaporkan.

Bagaimanapun, Putrajaya mendakwa pasar berkenaan masih dibuka.

Kurang permintaan sayur-sayuran berikutan premis makanan kurang beroperasi turut menyebabkan pengurangan hasil daripada ladang, kata Presiden Persatuan Pekebun Sayur Persekutuan Tan So Tiok.

Sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu, petani di Cameron Highlands mengalami kerugian sehingga RM23 juta kerana kurang permintaan.

Sehingga kini, petani di Cameron Highlands mengurangkan hasil sebanyak 20% hingga 30% dan kekurangan bekalan akan menyebabkan harga sayuran naik pada minggu akan datang.

“Sebelum ini, harga sayur-sayuran naik kerana musim kemarau. Hasil yang kurang membawa kepada pengurangan bekalan,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

Kini Pasar Borong KL ditutup sementara, petani enggan bercucuk tanam dan menuai hasil kerana bimbang mereka tidak dapat jual hasil pertanian mereka.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan koronavirus yang setakat ini menjangkiti 5,425 orang dan meragut 89 nyawa. PKP berkuatkuasa sehingga 28 April. – 21 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen