KIRA-kira 15,000 penduduk di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa hari ini akan dikenakan ujian saringan Covid-19.
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, ini merupakan satu bentuk langkah pencegahan awal selepas satu kematian berlaku dan jangkitan dikesan daripada ujian saringan sebelum ini.
“Terdapat petanda atau petunjuk bahawa ada kes positif yang memerlukan pencegahan awal.
“Semalam, kita menjalankan ujian saringan ke atas 2,000 pekerja di pasar berkenaan serta kawasan sekitarnya dan terdapat lebih 20 kes, terdapat juga satu kematian. Jadi kita mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang media di kementerian itu hari ini.
Antara 1,500 hingga 2,000 orang akan menjalani ujian saringan setiap hari.
“Terdapat enam kawasan penduduk di sekitar pasar berkenaan. Kita akan jalankan ujian saringan terhadap mereka secara berperingkat iaitu 50 orang pada satu masa dan dipantau oleh sepuluh pegawai polis dan tiga anggota tentera.
“Kita telah menubuhkan pusat saringan di enam kawasan dan kita jangkakan ia selesai dalam tempoh seminggu,” katanya.
PKPD bagi utara Kuala Lumpur di kawasan sekitar pasar borong berkenaan diumumkan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Bagaimanapun katanya, pasar borong berkenaan masih dibuka dan hanya kawasan perumahan sekitar diletakkan di bawah PKPD.
Annuar berkata, 90% penduduk yang tinggal di kawasan terbabit terdiri daripada pendatang asing, pelarian Rohingya dan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Pusat pengurusan krisis akan ditubuhkan bagi membantu mereka yang memerlukan, tambahnya.
“Kita akan letakkan 500 pegawai daripada pelbagai agensi bagi memantau sekatan jalan raya di kawasan berkenaan.
“Kita juga akan memastikan mereka dapat membeli barangan makanan dan bantuan seperti beras, minyak masak dan tepung gandum akan disediakan kepada mereka yang memerlukan.
Annuar turut meminta semua majikan di kawasan terbabit menghantar pekerjanya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
PKPD di kawasan berkenaan berkuatkuasa sehingga 3 Mei.– 20 April, 2020.
Komen