Cadangan terjemahan Bible tidak jejaskan teks agama lain


Bede Hong

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, cadangannya membabitkan DBP hanya untuk Bible dan Kristian sahaja tanpa melibatkan agama lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2017.

PEGUAM Haniff Khatri Abdulla yang diselar berikutan cadangannya untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan terjemahan rasmi Bahasa Malaysia Bible, hari ini berkata cadangannya itu tidak akan menjejaskan kitab suci agama lain. 

Beliau mengulas bantahan kumpulan antara agama, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) bahawa agama lain akan hilang kawalan terhadap kitab suci mereka sekiranya DBP mengambil alih terjemahan kitab suci.

“Jawapan saya ringkas. Ia tidak akan berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight dan menambah pandangannya hanya kepada penggunaan kalimah “Allah” sebagai terjemahan “Tuhan” dalam teks Bahasa Malaysia untuk Bible dan Kristian.

“Sekiranya masyarakat dan pihak awam mengikuti penghujahan saya di mahkamah, di mana saya bercakap mengenai keperluan frasa Tuhan, untuk diterjemah dengan bantuan Dewan Bahasa dan Pustaka, mereka akan faham bahawa kitab suci agama lain langsung tidak menjadi isu. 

“Tiada bahagian daripada cadangan saya yang dimaksudkan utnuk terjemahan kitab suci Sikh, Guru Granth Sahib atau Hindu Bhagavad Gita, kerana ia ditulis dalam bahasa asal mereka dan ia kitab yang asli, yang tiada sesiapa berhak untuk memindanya. 

Haniff mengulangi kenyataan bahawa isu itu adalah mengenai terjemahan Bible ke Bahasa Malaysia, bahasa yang digunakan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia.

Peguam berkenaan mewakili Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebagai ‘amicus curiae’atau sahabat mahkamah dalam saman yang difailkan Jill Ireland yang berasal dari Sarawak terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung hak perlembagaannya untuk menggunakan perkataan “Allah” dalam bahan Kristian Bahasa Malaysia.

Beliau minggu lalu pada pendengaran kes itu mencadangkan DBP menyediakan terjemahan rasmi Bible untuk memperbetulkan yang didakwa kesalahan oleh penganut Kristian untuk menggunakan perkataan Arab “Allah” sebagai terjemahan “Tuhan”.

Mais bagaimanapun menjauhkan daripada cadangan peguam itu dan menyatakan ia bukan pendirian rasmi Mais untuk DBP menterjemah Bible. 

Haniff bagaimanapun enggan mengulas pendirian Mais berhubung cadangannya itu atas dasar keistimewaan peguam-pelanggan. 

Beliau hari ini berkata terjemahan Inggeris Bible tidak menggunakan perkataan “Allah”.

Menurutnya, beliau menekankan kepada terjemahan yang tepat kepada bahasa asal dan bukan cuba untuk menghakis hak Kristian untuk mengamalkan kepercayaan mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

“Cadangan yang saya usulkan dalam penghujahan saya, adalah sejajar dengan Perkara 11dan Perkara 3 Perlembagaan, yang mana Artikel 3 menyebut Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Semua agama lain bebas diamalkan dalam suasana aman dan harmoni. 

“Perkataan aman dan harmoni bermaksud tiada agama lain ada pilihan untuk mengamalkan amalan agama mereka yang mencampuri sesetengah perkara dalam agama Islam.”

“Sekiranya terjemahan Bible ke dalam Bahasa Malaysia tidak disemak, ia akan mengganggu keharmonian dan keamanan masyarakat di Malaysia.

“Itu sahaja isu yang dibangkitkan di mahkamah oleh saya. Agama lain seperti Sikh, Hindu dan Buddha tidak perlu bimang dengan agama dan kitab suci mereka kerana ia dalam bahasa asal.” – 21 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • nice

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Jinping Bi · Ulasan