BELUM ada laporan dibuat terhadap Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas gambar beliau menyambut hari jadi tular di media sosial, kata polis Pahang.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Daerah Lipis Azli Mohd Noor kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.
Abdul Rahman dikritik pengguna media sosial selepas beberapa gambar beliau menyambut hari jadi bersama beberapa orang lain dimuat naik di Facebook pada 13 April lalu tular.
Ahli Parlimen Lipis itu dipetik The Star berkata ia adalah majlis kejutan yang tidak dirancang sempena hari jadinya dan bukan berniat melanggar PKP.
Abdul Rahman juga berkata berkata majlis itu juga diadakan sekejap sahaja.
Menteri Kanan Ismail Sabri semalam berkata tiada individu termasuk pemimpin kerajaan dikecualikan dari undang-undang terutamanya sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
Beliau mengulas tentang kemarahan netizen terhadap tindakan pemimpin PN melanggar peraturan PKP.
“Sesiapa sahaja, tiada siapa boleh atasi undang-undang. Itu asas. Difahamkan ada laporan polis dibuat jadi kita serah kepada pihak polis untuk teruskan tindakan,” katanya dalam sidang media semalam.
Ismail Sabri berkata demikian bagi mengulas kontroversi melibatkan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali yang hadir majlis jamuan di sebuah sekolah tahfiz di Perak ketika tempoh PKP.
Sementara itu kerta siasatan berhubung kehadiran Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali pada jamuan itu dijangka siap hari ini.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dipetik Bernama berkata kertas siasatan itu akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Siasatan sedang aktif dijalankan dan (kertas siasatan) dijangka siap hari ini. Semua kes yang tular seperti ini pasti akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya kepada Bernama hari ini. – 20 April, 2020.
Komen