Tak manis tolak orang datang bawa kek, kata timbalan menteri


Majlis itu tidak dirancang dan tak berniat langgar PKP, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad. – Gambar Facebook, 20 April, 2020.

TIMBALAN Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad berkata majlis kejutan hari lahir yang diadakan untuknya tidak dirancang dan bukannya berniat melanggar perintah kawalan pergerakan.

“Ia tak dirancang dan saya tak mahu lah halau mereka,” katanya dipetik akhbar The Star.

Ahli Parlimen Lipis itu berkata majlis itu juga diadakan sekejap sahaja dengan beliau memotong kes disediakan kumpulan yang menganjurnya.

Katanya, majis itu berlaku pada 13 April dengan kumpulan pengajur membawa kek ke rumahnya dan bacaan doa selamat singkat diadakan.

Jelasnya, kumpulan penganjur majlis itu adalah sukarelawan yang membantunya mengedarkan barang keperluan kepada penduduk sekitar Lipis.

“Saya baru hendak keluar rumah sekitar jam 9 pagi bila saya nampak mereka datang bawa kek. Mereka beritahu yang mereka hendak ucap selamat jalan untuk saya yang mahu ke Putrajaya dan mahu beri kek, dan kebetulan ia hari lahir saya.

“Tak manis pula kalau tolak (kehendak) mereka,” katanya dipetik The Star.

Gambar yang didakwa sambutan majlis hari lahir Rahman dimuat naik di Facebook pada 13 April lalu tular dan mendapat kecaman ramai kerana ia diadakan dalam tempoh PKP.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata tiada sesiapa terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya melanggar PKP.

“Tiada siapa akan terlepas dari tindakan undang-undang jika ingkar dan tidak patuh undang-undang PKP

“Tidak betul tanggapan ada perbezaan dari segi pendekatan polis kepada setiap pesalah atau yang ingkar PKP,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika mengulas kontroversi melibatkan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali yang hadir majlis jamuan di sebuah sekolah tahfiz di Perak ketika tempoh PKP.

Dilaporkan polis akan memanggil semua pihak terlibat kerana kes itu yang melanggar PKP, bagaimanapun Ketua Polis Perak Razarudin Husain menegaskan semua pihak yang hadir majlis tersebut mengamalkan penjarakan sosial ketika majlis.

Kontroversi pelanggaran PKP itu juga mencetuskan dakwaan pilih kasih tindakan pihak polis kepada rakyat biasa dan wakil rakyat. – 20 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen