EXCO Perak Razman Zakaria mengakui kesilapan menjamu Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali dalam satu majlis bersama kumpulan petugas di sebuah maahad tahfiz seliaannya di Perak.
Pada masa sama, beliau juga kesal kerana jamuan makan beramai-ramai tersebut dilaporkan sebagai majlis kenduri.
“Itu bukan kenduri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau berkeras bahawa ia hanyalah jamuan kepada petugas dan juga timbalan menteri yang singgah ke maahad tersebut.
Jelasnya lagi, masalah timbul apabila pengurus Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong itu menghidangkan makanan untuk dimakan beramai-ramai.
“Sepatutnya buat buffet. Ambil dan makan seorang-seorang… Tetapi pengurus maahad hidang untuk ramai-ramai, hidang sederet macam itu,” katanya.
Dakwanya, hidangan itu kemudiannya tidak dapat ditolak.
“Bila dah sedia (makanan) takkan nak kata tak boleh, tak kena,” kata Razman lagi.
Bagaimanapun, setiap individu tersebut dijarakkan satu meter antara satu sama lain, katanya lagi yang berharap agar isu tersebut dilihat secara positif.
Razman turut berkata, beliau bersedia memberi keterangan kepada polis berhubung isu itu.
“Dia (pihak polis) dah telefon tapi akan buat secara rasmi. Kalau dipanggil akan buat.
“Saya tiada masalah bagi keterangan, tiada masalah berkhidmat kepada masyrakat. Daripada orang yang tularkan, apa mereka buat untuk bantu masyarakat?” soalnya.
Beliau juga menyalahkan pemberita dan portal berita kerana menurutnya memperbesar-besarkan perkara itu.
“Bukan (jamuan) tak salah, kita dah minta maaf, tapi pemberita nak cari sudut yang salah sahaja. Pemberita cari sudut yang boleh tular.
“Pemberita kena positiflah dalam hal ini, tak payah cari sudut-sudut negatif,” katanya.
Permohonan maaf itu dibuatnya dalam satu kenyataan berasingan.
“Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat atas kekhilafan yang berlaku.
“Pencerahan yang saya berikan ini bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Beberapa gambar menunjukkan Razman bersama Noor Azmi yang sedang makan bersama gerombolan tersebut tular beberapa hari lalu.
Terdapat juga gambar menunjukkan individu dalam kumpulan tersebut mengangkat pinggan makanan dan menunjukkan isyarat tangan dengan ibu jari terangkat, disyaki kerana kesedapan.
Gambar lain pula menunjukkan Noor Azmi mengagih bantuan secara terus kepada kanak-kanak di sekolah tahfiz tersebut.
Pengetua maahad tahfiz tersebut, Muhammad Rifaat Razman pula berkata ia adalah isu kecil yang sengaja diperbesar.
“Singgah solat, makan dan sampaikan sumbangan sahaja, sebenarnya tiada isu besar pun,” katanya di Facebook.
Beliau turut mendakwa laporan polis ke atas isu tersebut dibuat individu dari parti Amanah.
Sementara itu, Ketua Polis Perak Razarudin Husain pula dilaporkan berkata, pasukannya akan memanggil individu terlibat berdasarkan penelitian gambar yang tular esok.
“Polis Perak turut mendapatkan bantuan Bukit Aman untuk merakam percakapan timbalan menteri berkenaan kerana beliau berada di ibu negara,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Kesemua perhimpunan, jamuan dan majlis kenduri tidak dibenarkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan yang kini berkuatkuasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam menyatakan semua pihak tidak terkecuali daripada undang-undang tersebut. – 19 April, 2020.
Komen