PUSAT optometris tidak boleh disamakan dengan kedai cermin mata, kata persatuan profesionalnya, selepas kerajaan menarik balik kelonggaran awal kepada beberapa perkhidmatan untuk beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).
Persatuan Optometris Malaysia (AMO) menegaskan kepada The Malaysian Insight, kedai cermin mata umumnya menjual perkakas tetapi optometris memeriksa masalah mata dan merawat.
Mereka mahu kerajaan memikirkan semula pembatalan kelonggaran itu, demi kesejahteraan 25% rakyat Malaysia yang katanya bergantung pada alat bantu untuk penglihatan.
Presiden AMO, Woon Pak Seong berkata gesaan itu bukan untuk menyelamatkan perniagaan tetapi kerana benar-benar ada permintaan daripada pelanggan yang memerlukan.
“Kita terima banyak aduan daripada pelanggan, yang minta buat pemeriksaan susulan. Ada yang mengadu penglihatan kabur, mungkin disebabkan penyakit tetapi tiada tempat untuk membuat pemeriksaan.
“Bagi masalah seperti cermin mata patah atau rosak, kita minta mereka untuk baiki sendiri sebab kami tidak mahu keadaan di premis sesak.
“Namun, jika individu yang mengalami kerosakan cermin mata teruk adalah pakar bedah, juruterbang, bagaimana dengan mereka?” kata Woon, yang juga seorang ahli optometrik.
Woon mengingatkan pusat optometris mempunyai sijil operasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta Optik 1991.
Pihaknya juga sudah menyediakan garis panduan yang ketat jika perniagaan mereka dibenarkan beroperasi semasa PKP, tambah beliau.

Mereka juga katanya tahu mengenal pasti keperluan kecemasan atau bukan.
“Pusat optometris mempunyai lesen operasi di bawah KKM yang perlu diperbaharui setiap tahun.
“Kita telah bersedia dengan protokol keselamatan seperti penjarakan selamat, rawatan hanya dengan temu janji dan terhad kepada kes penting dan kecemasan.
“Kami sudah meminta pihak majlis optik untuk menarik lesen jika ada premis yang tidak mengikuti garis panduan yang ditetapkan untuk menjaga keselamatan pekerja dan pelanggan,” tambah beliau.
Awal minggu ini, Putrajaya menarik balik kelonggaran operasi kepada kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata, tiga hari selepas kelonggaran itu diumumkan oleh Menteri Kanan Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Ia ditarik balik selepas ada bantahan luas khusus terhadap operasi kedai gunting rambut, termasuk dalam kalangan persatuan tukang gunting dan pendandan rambut sendiri.
Woon bagaimanapun berkata pihak kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) tidak pernah mengadakan perbincangan dengan AMO atau Majlis Optik Malaysia berkenaan beberapa keputusan yang dibuat sebelum ini.
“Surat yang telah kami hantar juga tiada sebarang respons. Kami keliru sebab kami juga dibawah KKM.
“Kalau klinik kesihatan dan pergigian boleh buka, termasuk kedai ubat tradisional, kenapa tidak kami yang mempunyai lesen dan tauliah yang sah?” soalnya.
Susulan penarikan balik itu, AMO menghantar surat kepada Azmin merayu keputusan kerajaan dipertimbangkan semula.
Surat itu antara lain menjelaskan perkhidmatan optometris adalah untuk kesihatan mata dan penglihatan, serta tidak terhad kepada sekadar menjual cermin mata atau kanta lekap.
AMO berhujah dalam tempoh PKP ini bukan saja mereka yang bertugas di barisan hadapan perlu memastikan penglihatan mereka sihat dan terang, pelajar yang kini terpaksa mengikuti pembelajaran dalam talian pun sama.
Dalam surat itu, Woon berkata sekurang-kurangnya 25% rakyat Malaysia memerlukan bantuan penglihatan sama ada kanta lekap atau cermin mata.
Salah faham
Woon mengakui memang ada salah faham yang ketara dalam masyarakat, termasuk pihak berkuasa, antara kedai cermin mata dan pusat optometris.
Bukan saja perkhidmatan antara kedua-duanya berbeza, lesen operasi yang dikeluarkan oleh kerajaan juga tidak sama, katanya.
“Ahli optik memeriksa refraksi mata, menentukan cerminta mata. Optometris pula memeriksa kesihatan mata dan penglihatan.
“Pusat optometris lesen operasinya hijau, manakala kedai cermin mata yang hanya ada perkhidmatan optik, lesennya biru dan merah jambu.
“Persatuan Optometris Malaysia meminta kelonggaran untuk perkhidmatan optometris di pusat optometris,” katanya.
Woon juga menjelaskan surat AMO kepada Azmin adalah yang kedua daripada sektor itu selepas surat Majlis Optik Malaysia kepada KKM ketika PKP mula dikuatkuasakan sebulan lalu.
Surat majlis itu mendapat maklum balas positif daripada KKM yang menghantar surat sokongan kepada Majlis Keselamatan Negara dan semua pihak berkuasa tempatan.
Namun hanya beberapa pihak berkuasa tempatan saja yang membenarkan mereka beroperasi, antaranya di Shah Alam dan Petaling Jaya, dan itu pun hanya untuk dua hari dalam seminggu, pada Isnin dan Khamis.
“Kita tak kata MKN tidak ambil berat. Mungkin hanya tidak faham yang optometris adalah rawatan kesihatan dan sama penting seperti klinik pergigian,” tambah Woon. – 20 April, 2020.
Komen