Kerajaan tak jadi buka kedai gunting rambut waktu PKP


Putrajaya membatalkan keputusan membenarkan kedai gunting rambut dan cermin mata beroperasi ketika PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2020.

KERAJAAN tidak jadi membenarkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan beroperasi sewaktu peringkat ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas menerima kritikan keras pelbagai pihak.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata pembatalan kebenaran itu diputuskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Selain kedai dandanan rambut, kerajaan juga tidak membenarkan kedai cermin mata beroperasi untuk PKP peringkat ketiga yang bermula 15 hingga 28 April, katanya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pandangan rakyat dan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan.

“Ini menjawab segala persoalan yang ditimbulkan maka PM sendiri putuskan tak dibenar beroperasi,” katanya dalam sidang media disiarkan langsung hari ini.

Ia membatalkan pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali pada Jumaat lalu yang membenarkan tiga perkhidmatan itu beroperasi sewaktu PKP tahap tiga.

Selain kedai gunting rambut, perkhidmatan tambahan yang dibenarkan beroperasi termasuk industri aeroangkasa, mesin dan peralatan, sains, perkhidmatan profesional dan teknikal, termasuk penyelidikan, perkhidmatan kesihatan sosial, termasuk pengamal perubatan tradisional dan komplimentari yang berdaftar, kedai elektrik dan elektronik, dan perkhidmatan dobi.

Menurut Azmin, perkara itu diputuskan Kabinet pada hari sebelumnya.

Pengumuman itu menerima tentangan pelbagai pihak termasuk dari kalangan pengusaha kedai gunting rambut sendiri yang bimbang ia akan menyebabkan kluster jangkitan baharu.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan perkhidmatan seperti kedai gunting rambut itu hanya akan dibuka di zon hijau, namun tetap menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.

Kementerian Kesihatan pula menggesa pelaksanaan tersebut ditangguhkan terlebih dahulu dan menyarankan agar PKP tahap ketiga dilaksana dengan lebih ketat.– 13 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen