SIDANG Parlimen boleh berlangsung dengan lebih lama jika menyusun tempat duduk bagi mengekalkan amalan penjarakan sosial, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Katanya ahli parlimen boleh bertemu lebih daripada sehari yang ditetap pada 18 Mei dengan mengurangkan jumlah wakil ke Dewan Rakyat.
“PKR mempunyai 39 ahli Parlimen, jadi kita boleh hadir separuh daripada jumlah itu dan tidak perlu bimbang mengenai tempata dan mengekalkan penjarakan sosial,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.
Semalam satu notis pemberitahuan dihantar kepada semua ahli Parlimen untuk memaklumkan tentang sidang Parlimen pertama pada tahun ini yang akan diadakan pada 18 Mei.
Mesyuarat Parlimen tahun ini pada 18 Mei hanya akan berlangsung selama satu hari sahaja bagi membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan.
Notis yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat berkata tidak ada sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, usul atau kamar khas daripada menteri.
Anwar berkata ada khabar angin mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mahu bersidang lebih lama kerana bimbang berlakunya usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Ini bermakna mereka (PN) tidak mempunyai sokongan daripada ahli Parlimen,” katanya. – 18 April, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen