Dewan Rakyat bersidang sehari 18 Mei ini


TIDAK seperti tahun sebelum ini, mesyuarat Parlimen tahun ini pada 18 Mei hanya akan berlangsung selama satu hari sahaja bagi membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan, menurut satu notis pemberitahuan hari ini.

Notis yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat berkata tidak ada sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, usul atau kamar khas daripada menteri.

Notis bertarikh 17 April itu disahkan oleh dua ahli Parlimen dan dilihat oleh The Malaysian Insight. 

Mesyuarat satu hari itu menjadi sesi pertama penggal ketiga Parlimen ke-14.

Sesi pertama pada awalnya dijadualkan diadakan dari 9 Mac hingga 26 April sehingga kerajaan Pakatan Harapan digulingkan pada awal Mac melalui pembelotan dan komplot oleh pemimpin PKR yang dipecat, puak Bersatu, Umno dan PAS.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional kemudiannya menangguhkan sesi pertama sehingga 18 Mei ini.

Dewan Negara juga akan bersidang pada 18 Mei untuk ucapan Yang di-Pertuan Agong dan ditangguhkan selepas Seri Paduka Baginda menyampaikan ucapannya.

Namun Dewan Rakyat akan meneruskan persidangan untuk membahaskan langkah-langkah kerajaan menangani pandemik Covid-19.

Ini diharapkan melibatkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu majikan dan peniaga dengan subsidi gaji, pengecualian sewa, pinjaman dengan faedah rendah dan pemberian wang tunai untuk kumpulan pekerja berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40). – 17 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen