Jangan naik kapal terbang jika demam, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

JANGAN naik kapal terbang jika anda demam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkenaan penyambungan semula penerbangan oleh Malaysia Airlines (MAS) dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Kita harus menyaring penumpang sebelum mereka menaiki kapal terbang dan setelah sampai ke destinasi mereka sama ada Sarawak atau Sabah,” katanya kepada wartawan pada sidang media harian Covid-19.

Beliau diminta memberi maklum balas terhadap pengumuman Kementerian Pengangkutan bahawa MAS akan menyambung semula penerbangan dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak minggu ini.

Maklum balas dibuat selepas kerajaan negeri Sarawak membantah keputusan MAB, AirAsia dan Malindo membatalkan penerbangan ke negeri itu dari 15 April hingga 30 April.

Dr Noor Hisham berkata alat penguji suhu dipasang di lapangan terbang akan digunakan dalam proses penyaringan bagi membendung penyebaran Covid-19.

“Kita perlu melihat bagaimana kita dapat memperbaiki proses penyaringan,” katanya.

Malaysia Airlines juga mengeluarkan kenyataan hari ini akan memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri dan Kota Kinabalu pada minggu ini dengan kekerapan seminggu sekali. 

Syarikat itu akan mengendalikan penerbangan untuk Kuala Lumpur-Kota Kinabalu-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Miri-Kuala Lumpur pada Khamis dan Kuala Lumpur-Kuching-Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sementara itu MAS Wings pula akan mengembalikan semula perkhidmatan di laluan Kuching-Sibu-Kuching selain mengekalkan jadual penerbangan harian di laluan Miri-Bintulu-Miri dan Sibu-Bintulu-Sibu.

Langkah itu dibuat susulan permintaan daripada kerajaan.

Bagi bazar Ramadan Noor Hisham berkata pelaksanaanya akan menarik perhatian ramai orang dan mendatangkan masalah.

Beliau berkata perkhidmatan penghantaran makanan dapat membantu memastikan tiada perhimpunan berlaku. – 14 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen