Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Sabah, Sarawak


MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) akan menyambung semula penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak minggu ini, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

MAB termasuk AirAsia menghentikan penerbangan ke Malaysia Timur sejak penularan wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan semalam, Wee berkata beliau telah meminta MAB menimbang semula pemberhentian sementara operasi di dua laluan berkenaan. Kementrian Pengangkutan juga tidak pernah mengarahkan mana-mana syarikat penerbangan domestik, tambah beliau.

“MAB menyatakan bahawa mereka akan memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri dan Kota Kinabalu pada minggu ini dengan kekerapan seminggu sekali,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

“Mereka juga akan memastikan penerbangan ini akan dihubungkan oleh MASwings untuk laluan Miri-Bintulu, Kuhcing-Sibu-Kuching dan Sibu-Bintulu.

“Jika permintaan meningkat, MAS akan menambah lebih banyak penerbangan ke Kuching atau Miri atau Kota Kinabalu mulai minggu hadapan,” tambah Wee.

Sementara itu, menteri itu berkata perkhidmatan kargo MAS khususnya dalam membawa muatan barangan keperluan rakyat seperti makanan dan keperluan perubatan ke Sarawak akan terus beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semalam, kerajaan negeri Sarawak membantah keputusan MAB, AirAsia dan Malindo membatalkan penerbangan ke negeri itu dari 15 April hingga 30 April. – 14 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen