Kedai gunting tetap tutup di Pulau Pinang, kata ketua menteri


Zaim Ibrahim

PULAU Pinang tidak akan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula selagi perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berjalan, walaupun ia termasuk dalam sembilan sektor yang diberi kelonggaran oleh Putrajaya semalam untuk beroperasi minggu depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat keputusan itu kerana bimbang akan isu keselamatan dan kesihatan.

“Kerajaan negeri memandang serius berhubung peratusan lebih daripada 95% maklum balas awam yang menyatakan kebimbangan mereka (sekiranya kedai gunting dibuka semula).

“Malah, mesyuarat turut mengambil kira persoalan seperti faktor-faktor penjarakan sosial dan juga kemungkinan menyebabkan wujudnya kluster baru. 

“Justeru, mesyuarat memutuskan bahawa Kerajaan Negeri berhak untuk tidak mengikut keputusan Kerajaan Pusat sekiranya ia masih dilaksanakan, dan berharap Kerajaan Pusat akan mengkaji semula perkara ini demi keselamatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedai gunting rambut merupakan antara sembilan sektor perkhidmatan dan pengilangan yang dibenar beroperasi secara berperingkat bermula PKP fasa ke-3.

Semalam, menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan kelonggaran sembilan sektor itu untuk beroperasi, dengan syarat mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bermula Isnin ini.

Kelonggaran diberikan ketika tempoh PKP dilanjutkan untuk 14 hari lagi sehingga 28 April, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semalam.

Keputusan itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.

“Demi kepentingan orang ramai, saya tidak bersetuju dengan arahan menteri membenarkan kedai rambut beroperasi.

“Bolehkah kita berkorban sedikit lagi untuk pertahankan penjarakan sosial?” kata Akmal.

Akmal mengakui pendapatnya mungkin tidak popular dan kerajaan mungkin tidak bersedia untuk ditegur.

“Saya mohon maaf kepada pengusaha kedai gunting kerana mesej ini,” katanya.

Di media sosial juga sudah mula tersebar beberapa mesej dengan peringatan, pembukaan kedai gunting rambut dibimbangi mewujudkan kluster baharu Covid-19.

Mereka juga berkongsi berita mengenai seorang tukang gunting rambut di Mississippi, Amerika Syarikat yang mati kerana dijangkiti Covid-19 serta laporan jangkitan di Fukuoka, Jepun, disyaki berpunca dari sebuah salon dandanan rambut. 

Sementara itu, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan meneliti semua pandangan rakyat mengenai langkah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi 

“Saya percaya dan dimaklumkan MITI akan teliti semua pandangan ini,” kata Ismail dalam sidang media hariannya awal petang tadi. – 11 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen