UJIAN massa antibodi Covid-19 perlu dilakukan segera bagi membolehkan rakyat kembali bekerja dan menggerakkan semula ekonomi yang terhenti kerana wabak itu, kata bekas menteri kesihatan.
Dr Dzulkefly Ahmad, yang sebelum ini mengetuai usaha Malaysia memerangi wabak itu, memberitahy The Malaysian Insight yang ujian itu mampu mengenal pasti individu yang mempunyai antibodi melawan virus itu.
Antibodi dikeluarkan sistem pertahanan biologi badan untuk melawan jangkitan penyakit.
Ujian antibodi, dikenali sebagai ujian serologic, hanya berharga RM20 seorang dibandingkan dengan ujian untuk mengenal pasti virus maut itu yang boleh menelan belanja antara RM300 sehingga RM700 seorang, kata Dzulkefly yang merupakan menteri kesihatan ketika pentadbiran Pakatan Harapan.
“Kaedah paling optimum untuk bergerak ke depan adalah uji kedua-duanya, untuk mereka yang ada virus dan mereka yang ada antibodi,” katanya yang kini mengetuai pasukan khas koronavirus di Selangor.
“Memandangkan kita semua bimbang tentang kesan virus kepada ekonomi dan hakikatnya yang syarikay perlu mula mendapatkan hasil pendapatan untuk membayar pekerja mereka, ujian massa antibodi adalah kaedah terbaik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Saya harap kerajaan persekutuan boleh mempertimbangkan perkara ini atau jika Selangor boleh ketuai cara ini.”

Dr Dzulkefly berkata individu yang pulih daripada Covid-19 mempunyai antibodi jenis ini untuk melawan virus itu.
Tambahnya, ada juga individu yang dijangkiti virus tetapi tidak sakit dan menghasilkan antibodi untuk melawannya.
“Orang ini boleh kembali bekerja seperti biasa supaya mereka boleh bantu memulakan semula operasi syarikat mereka atau jika mereka pekerja gaji harian dapat semula pendapatan mereka.”
Industri dan pekerja kini mula bimbang dengan kesan wabak dan perintah kawalan pergerakan yang dilaksana untuk mengawalnya kepada ekonomi.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dilanjutkan sehingga 28 April bagi mencegah penularan virus itu.
PKP yang dikuatkuasa untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 menutup hampir semua ekonomi dan hanya sektor penting dibenarkan beroperasi.
Setakat semalam, jumlah kes positif Malaysia sudah mencecah 4,346 kes dengan 70 kematian dilaporkan.
Kebimbangan tentang kesan wabak kepada ekonomi juga dirasai di Amerika Syarikat, apabila pegawai kesihatan mula mempertimbangkan kaedah untuk menggerakkan semula ekonomi negara itu apabila dianggarkan 17 juta orang kehilangan pekerjaan kerana pelaksanaan perintah berkurung. – 11 April, 2020.
Komen