PERSEKUTUAN Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyeru kerajaan membenarkan pengilang produk penting beroperasi dengan kapasiti penuh dan pengeluar tidak penting pada kapasiti 50% semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Kebenaran beroperasi penting untuk mengelakkan industri runtuh susulan penutupan hampir sebulan kebanyakan perniagaan,” kata Presiden FMM, Soh Thian Lai.
“Kilang tidak boleh lagi ditutup dan pada masa sama mereka terus mempunyai tanggungjawab kewangan untuk dipenuhi termasuk gaji dan perbelanjaan modal tetap.”
Selain tiada pengeluaran sepanjang PKP, ia turut mengehadkan aktiviti import dan eksport dengan anggaran kerugian eksport dicatatkan sebanyak RM4.7 bilion.
Walaupun operasi barangan keperluan dibenarkan, pekerja tidak diberi kebenaran bekerja mereka walaupun mempunyai surat kebenaran syarikat, menurut FMM.
FMM juga mendapati PKP turut memberi kesan kepada kakitangan bekerja shif.
Aktiviti eksport dan import juga dikurangkan walaupun diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan menerusan aktiviti eksport dengan bukti kontrak.
“Komuniti perniaga sangat menyokong arahan pengurungan (lockdown) beberapa minggu lalu dan akan terus menyokong PKP tetapi kini memerlukan sedikit kelonggaran untuk membolehkan kilang meneruskan operasi,” kata Soh.
“Tumpuan mesti beralih untuk memastikan kelangsungan industri, kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan buruk terhadap keseluruhan ekonomi.”
Soh berkata kilang beroperasi di bawah persekitaran yang sangat terkawal dengan pergerakan pergi balik pekerja dari rumah ke tempat kerja, sekali gus mengehadkan pendedahan mereka kepada persekitaran di luar tempat kerja dan rumah. – 9 April, 2020.
Berita penuh di sini
Komen