Ibu bapa harap pelajar IPT dibenar balik jika PKP lanjut lagi


Diyana Ibrahim

Ramai pelajar terkandar di asrama dan kediaman sewa sejak lebih 20 hari lalu selepas pelaksanaan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2020.

IBU bapa pelajar universiti dan kolej yang terkandas mahu kerajaan membenarkan anak mereka pulang ke kampung sekiranya pihak berkuasa melanjutkan sekali lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Pelajar yang terlibat bagaimanapun berbelah bahagi sama ada mahu pulang atau tidak sekiranya kerajaan melonggarkan pergerakan apabila perintah itu disemak semula minggu ini.

Suri rumah Hashimah Junaidi, 46, di Miri, Sarawak memberitahu The Malaysian Insight beliau bimbang keadaan anaknya yang terkandas di Bangi, Selangor sejak PKP berjalan lebih 20 hari lalu.

Anaknya Muhamad Adib Fauzi, 20, belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, terkandas sebelum PKP dikuatkuasakan kerana tiket penerbangan ke Sarawak habis.

“Bingung saya setiap hari siang malam mengenangkan anak seorang diri di sana. Kita takut dia tiba-tiba demam atau sakit sebab sekarang ini dia seorang diri di bilik.

“Kalau betul kerajaan mahu melanjutkan lagi tempoh PKP, alang-alang bolehlah benarkan mereka balik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hashimah kini berhubung dengan anaknya setiap hari dengan panggilan video telefon.

Khadijah Rahim, 45, pekerja swasta di Johor yang anaknya belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, juga mengaku kelonggaran pergerakan kepada pelajar untuk pulang akan ada risiko namun berharap kerajaan dapat beri pertimbangan.

Katanya, kalau kerajaan boleh bantu membawa rakyat Malaysia di luar negara untuk pulang ke tanah air kenapa perkara sama tidak dapat dilakukan kepada pelajar universiti tempatan supaya mereka dapat kembali bersama keluarga.

Beliau bimbang kerana anak perempuannya tinggal menyewa di luar dan bukan duduk di asrama di dalam kampus.

“Saya risau sebab dia menyewa di luar bersama rakan- rakan. Risau keselamatan dan takut kalau terdedah dengan wabak kalau dia keluar beli makanan.

“Lagipun jika tempoh PKP dilanjutkan saya takut akan dipanjangkan sehingga kita berpuasa, jadi kalau boleh memang saya nak dia balik,” katanya.

Setakat 6 April, Wisma Putra membantu urusan membawa pulang lebih 6,700 rakyat Malaysia yang terkandas di 51 buah negara.

Mereka yang terkandas berada di luar negara untuk urusan jangka pendeknya antaranya bercuti atau bekerja tetapi tidak dapat pulang terutamanya kerana sekatan perjalanan.

Wisma Putra sebelum ini menasihati pelajar Malaysia di luar negara supaya kekal tinggal di negara pengajian masing-masing namun perkembangan mereka dipantau oleh perwakilan Malaysia di luar negara.

Putrajaya dijadual mengumumkan status terkini PKP sebelum Jumaat, sama ada dilanjut atau ditamatkan, selepas dilanjutkan kali pertama dari 31 Mac kepada 14 April.

Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob minggu ini berkata pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang meneliti kemungkinan untuk memperkenalkan peraturan baharu mengikut zon jangkitan Covid-19.

Setakat Rabu, sebanyak 23 daerah kesihatan di seluruh Malaysia dikelaskan sebagai zon merah iaitu yang mempunyai lebih 41 kes positif Covid-19.

Pelajar terkandas di asrama dan kediaman sewa sejak lebih 20 hari lalu selepas pusat pengajian memberhentikan pengajian apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP berkuatkuasa pada 18 Mac.

Selama lebih 40 jam selepas pengumuman pada 10 malam 16 Mac, pusat pengajian, pelajar dan ibu bapa yang terlibat keliru sama ada arahan PKP itu bermaksud kolej kediaman juga ditutup dan pelajar pulang ke kampung masing-masing.

Sebahagian pelajar sempat pulang ke rumah masing-masing pada hari itu namun ada juga yang terkandas di asrama atau di rumah sewa.

Hanya pada malam 18 Mac, Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan semua pelajar perlu kekal tinggal di kampus masing-masing.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kemudian menjelaskan hanya mereka yang mendapat kebenaran polis, dan atas alasan mustahak dan perlu, dibenar keluar meninggalkan daerah.

Orang ramai menyerbu Terminal Bersepadu Selatan untuk pulang ke kampung selepas pengumuman pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2020.

Balik atau tak balik

Sementara itu, pelajar yang ditemubual oleh The Malaysian berbelah bahagi antara mendedahkan diri kepada risiko jangkitan atau hidup lebih tenang bersama keluarga di kampung.

Seorang siswi di UiTM yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin berharap kerajaan akan memberi mereka peluang untuk pulang kerana bimbang tidak boleh bertahan lebih lama jika PKP dilanjutkan.

“Kalau boleh dan ada cara yang selamat untuk kita balik, memang kita nak balik. Sekarang rasa sangat rindu pada keluarga.

“Tapi nasib baik ada kawan-kawan di sini berkongsi keadaan sama, sedikit sebanyak tidaklah terlalu bimbang dan sedih sangat,” kata pelajar berusia 19 tahun berasal dari Kedah.

Seorang pelajar universiti awam di Sabah yang mahu dikenali sebagai Rin, 20, berkata biarpun pihak universiti menjaga mereka yang terkandas namun semangat mereka menurun setelah hampir sebulan PKP berjalan.

Mood itu memang sedih sebab berjauhan. Keluarga tinggal berlainan negeri.

“Kadang- kadang bila berjauhan terfikir juga keadaan keluarga… kita memang tidak mahu ada perkara buruk berlaku menimpa mereka,” katanya yang berasal dari Selangor.

Rin berkata kerajaan wajar membantu pelajar pulang untuk bersama keluarga sekiranya PKP dipanjangkan. 

“Saya terfikir juga kenapa orang yang pergi bercuti di luar negara dibenarkan balik dan ditempatkan di pusat kuarantin.

“Jadi kami sebagai pelajar sepatutnya dibenarkan balik dan kami boleh kuarantin diri sendiri di rumah,” katanya.

Bagi pelajar UKM, Muhammad Syafiq Mohd Mazuki, jika kerajaan membenarkan mereka pulang, ia perlu dibuat dengan sistematik.

Pelajar berusia 21 tahun berasal dari Terengganu mengakui rasa selamat tinggal di kampus, jauh dari risiko bahaya Covid-19.

“Nak balik itu memang ya, tapi saya harap adanya pelepasan yang sistematik sebab dah sebulan tidak ada orang boleh keluar masuk di UKM jadi kita rasa selamat di sini.

“Saya harapkan pelepasan khas untuk pelajar saja sistematik dan tidak perlukan banyak prosedur. Sebagai contoh sediakan bas kampus dan bas itu sahaja yang dibenarkan merentasi sempadan,” katanya. – 9 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen