KALANGAN pelajar universiti menyuarakan kebimbangan tentang kebajikan dan situasi kewangan mereka selepas kerajaan mengarahkan mereka untuk kekal di kampus sepanjang tempoh 14 hari perintah kawalan pergerakan.
Kementerian Pengajian Tinggi pada Rabu mengumumkan semua pelajar perlu kekal di kampus masing-masing.
Langkah itu merupakan perubahan ketika sejak Selasa apabila set pertama soalan lazim bagi menjelaskan pelaksanaan perintah itu dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Set pertama soalan lazim itu menjelaskan bahawa pelajar perlu meninggalkan kampus dan pulang ke rumah atau negara asal.
Namun satu lagi versi yang dikeluarkan pada hari sama berkata pelajar boleh pilih untuk kekal di kampus.
Pelajar dari Sabah yang menuntut di sebuah universiti tempatan di Selangor, Afiqah Azhar berkata dia kini bimbang untuk mendapatkan pulangan duit ketika yang dibeli sebelum perubahan arahan itu buat kali ketiga.
“Saya khuatir tentang makanan dan duit. Tiket penerbangan saya sudah dibatalkan. Saya tidak tahu jika boleh dapat semula pulangan duit.
“Kini saya berdepan dengan isu kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pelajar pengurusan hotel itu merasakan kerajaan tidak berhati-hati dalam membuat keputusan yang akan menjejaskan pelajar.
Walaupun kementerian mengarahkan pihak universiti menyediakan makanan dan menjaga kebajikan pelajar di kampus sepanjang tempoh kawalan, Afiqah berkata universitinya tidak menyediakan makan malam untuk pelajar semalam.
Malah dia tidak mahu nama universitinya disiarkan ekoran bimbang tindakan akan diambil terhadapnya.
Dia berkata makanan hanya disediakan di kampus universiti setakat pukul 3 petang.
“Semuanya hanya cakap saja tapi tiada tindakan. Kami amat kecewa,” katanya sambil menambah pelajar terpaksa mencari makan malam sendiri melainkan situasi berubah.
Soalan lazim kementerian itu berkata institusi pengajian tinggi awam dan swasta bertanggungjawab terhadap keperluan asas, keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.
Kampus juga perlu menyediakan perkhidmatan penting seperti air, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, penyiaran, kewangan, penjagaan kesihatan, farmasi, keselamatan, kebersihan dan makanan.
Seorang lagi pelajar universiti tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Zuhairi berkata polis bantuan di kampusnya mengunci pagar serta-merta selepas arahan ketiga dikeluarkan iaitu pelajar perlu kekal di kampus.
Pelajar kejuruteraan itu berkata mereka diarahkan untuk tinggal di dalam bilik dan tidak dibenarkan mengadakan aktiviti bersama di dalam kampus.
Hakim Ahmad turut dilarang meninggalkan kampusnya dan menyuarakan rasa tidak puas hati cara kerajaan mengendalikan situasi tersebut.
“kerajaan perlu berfikir secara terperinci sebelum (membuat keputusan pertama) membenarkan pelajar pulang.
“Mereka perlu mengarahkan pelajar kekal di kampus (dari awal) kerana risiko yang dihadapi pelajar untuk pulang ke rumah selain berkumpul di lapangan terbang dan terminal bas,” kata pelajar berusia 24 tahun dari Perak itu.
Kekecewaan itu disuarakan selepas arahan pertama MKN meminta pelajar meninggalkan kampus.
Mereka yang mempunyai kewangan terhad terutamanya dari Sabah dan Sarawak mengadu mereka tidak cukup wang untuk membeli tiket.
The Malaysian Insight cuba melawat kediaman pelajar di Sunway Monash di Petaling Jaya tetapi dihalang oleh pengawal bertugas. – 20 Mac, 2020.
* Nama pelajar diubah untuk perlindungan mereka.
Komen