KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan mendirikan kedai runcit sementara untuk penduduk di Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata ini bagi membolehkan penduduk di dua flat di Jalan Masjid India itu mendapat bekalan makanan dan barangan keperluan lain sepanjang PKPD.
“Kita akan bekerjasama dengan mungkin pembekal, atau penjual makanan atau barangan runcit untuk memasang khemah di tempat tertentu, yang mana mereka dibenarkan turun secara berkumpulan yang terkawal untuk keluar dan beli.
“Kita galakkan mereka tempah makanan dengan cara menghantar dan diletakkan di luar bangunan,” kata Annuar pada sidang media yang disiarkan langsung di Facebook hari ini.
Terdahulu, Menteri Kanan Ismail Sabri berkata warga asing yang terkandas dalam rumah mereka di Selangor Mansion dan Malayan Mansion kerana PKPD adalah di bawah tanggungjawab suruhanjaya tinggi negara masing-masing.
Di bawah PKPD, semua penduduk tidak dibenarkan meninggalkan rumah mereka walaupun untuk membeli makanan dan barangan keperluan lain.
Menteri itu mengulas aduan penduduk yang mendakwa mereka tidak menerima makanan daripada pihak berkuasa.
Penduduk yang kebanyakannya berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh memberitahu The Malaysian Insight, PKPD yang dikuatkuasakan mengejut semalam menyebabkan mereka tidak sempat membeli barangan keperluan untuk dijadikan stok. – 8 April, 2020.
Komen