Penduduk Selangor Mansion, Malayan Mansion bimbang tak cukup makanan


Ravin Palanisamy

Penduduk yang kebanyakannya berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh berkata PKPD yang dikuatkuasakan mengejut semalam menyebabkan mereka tidak sempat membeli barangan keperluan untuk dijadikan stok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 April, 2020.

PENDUDUK di flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang terkurung akibat perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mengadu tidak menerima makanan daripada pihak berkuasa.

Penduduk yang kebanyakannya berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh memberitahu The Malaysian Insight, PKPD yang dikuatkuasakan mengejut semalam menyebabkan mereka tidak sempat membeli barangan keperluan untuk dijadikan stok.

Tajuddin Farook, yang sudah enam tahun tinggal di Selangor Mansion, berkata beberapa penduduk sukar mendapatkan bekalan makanan semalam. Sebuah restoran berdekatan yang mendapat tahu keadaan mereka kemudian menghantar makan malam untuk beberapa penduduk di kedua-dua flat.

“Perintah berkurung bermula sekitar 2 pagi kalau tak silap saya. Jadi, kita tak menjangka dan tak dimaklumkan. Kami dapat tahu semasa nak ke tempat kerja pagi semalam.

“Ada di antara kami tak makan pagi dan tengah hari. Mujurlah Restoran ABC dapat tahu dan agihkan makanan kepada penduduk di sini dan di Malayan Mansion,” Tajuddin memberitahu The Malaysian Insight.

Tajuddin, rakyat tempatan yang bekerja sebagai pemandu di sebuah kedai alat tulis, berkata Restoran ABC dan restoran vegetarian dari Kopatha Group, Sangeeta, menyediakan sarapan dan makan tengah hari untuk penduduk hari ini. 

Katanya, setiap rumah diminta menghantar seorang wakil untuk mengambil makanana yang disediakan oleh dua restoran berkenaan.

Semalam Putrajaya meletakkan Selangor Mansion dan Malaya Mansion di bawah PKPD selepas Kementerian Kesihatan mengesan 15 kes positif Covid-19 di dua bangunan flat itu.

Warga India, Syeikh Abdul Kader, 46, yang bekerja di sebuah kedai emas berkata penduduk tidak sempat berbuat apa-apa apabila PKPD dikenakan secara mengejut.

Beliau berkata rakan sekerjanya yang tinggal di tempat lain datang menghantar sarapan dan makan tengah hari semalam. Tidak semua penduduk di dua flat itu menerima makan malam yang diberi oleh Restoran ABC dan Sangeetha, tambah Abdul Kader. – 8 April, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen