2 lagi menteri Sarawak diarah jalani kuarantin


Desmond Davidson

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah menerima arahan daripada Jabatan Kesihatan negeri untuk menjalani kuarantin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2020.

DUA lagi menteri Kabinet Sarawak menerima arahan daripada Jabatan Kesihatan negeri menjalani kuarantin di rumah.

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dr Sim Kui Hian menerima arahan untuk “pemantauan dan pemerhatian kerana kontak dengan individu dijangkiti Covid-19 hari ini.

Sim, dalam catatan di akaun Facebook peribadinya berkata walaupun selepas mengambil semua langkah berjaga-jaga, beliau kini terpaksa menjalani pengawasan selama 14 hari di rumah.

Beliau dan Uggah bertemu salah seorang yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa kecil Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri pada 27 Mac.

Individu berkenaan, penduduk Samarahan kemudian diuji positif Covid-19.

“Walaupun saya sihat, tiada batuk, tiada kesukaran bernafas, tidak demam, (saya) tidak positif Covid-19.

“Risiko kerja,” tulis Dr Sim.

Beliau berkata kuarantin 14 hari yang merupakan tempoh inkubasi selama 14 hari bagi virus berjangkit yang membunuh sembilan orang di negeri ini sehingga kini, adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard bagi kes positif Covid-19.

“Ini adalah langkah berjaga-jaga. Ia bererti, semua terlibat dalam mesyuarat itu perlu berada dalam pengasingan di rumah.

“Bukan sekiranya kita dijangkiti tetapi apa lebih penting lagi agar tidak menjangkiti orang lain jika anda dijangkiti walaupun anda sihat dan tidak mengalami gejala.”

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Uggah.

Setiausaha akhbar Uggah, Edward Stephen mengesahkan beliau dan Uggah menerima arahan yang sama hari ini.

Beliau berkata Uggah kini perlu mengadakan mesyuarat jawatankuasa harian melalui persidangan video.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan Menteri Muda Pengangkutan Dr Jerip Susil menjadi anggota pentadbiran negeri pertama yang disahkan positif Covid-19.

Masih tiada pengesahan rasmi mengenai laporan itu.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Fatimah Abdullah memulakan kuarantin di rumah kerana hadir mesyuarat pada 27 Mac. – 2 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen