Teh O kosong alas perut pelajar empat hari pertama PKP


Diyana Ibrahim

Perintah Kawalan Pergerakan mula dikuatkuasakan pada 18 Mac sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19. Ramai pelajar institusi pengajian yang terkandas dan memerlukan bantuan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2020.

PELAJAR sebuah kolej di Negeri Sembilan, Ahmad Muaz Zahari hanya minum air teh kosong selama empat hari pertama selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Beliau yang menyewa rumah dengan kawan-kawan di luar kolej ketika itu sudah habis duit kerana membeli tiket untuk balik ke kampung di Sabah, selepas kolej diumum tutup dan kampus perlu dikosongkan serta merta.

Namun Muaz, 20, tidak dapat balik kampung selepas kerajaan kemudian menjelaskan perintah itu bukannya cuti untuk balik kampung.

Bukan Muaz seorang saja melalui pengalaman itu. Banyak pelajar juga mengalaminya namun mereka yang menyewa bilik atau rumah di luar kampus paling terkesan berbanding mereka yang tinggal di asrama, yang dapat bantuan makanan.

“Mula-mula kita cuba tanya pihak kolej untuk dapatkan bantuan, tapi pihak kolej tidak sediakan untuk pelajar luar kampus. Mungkin kerana kolej swasta, jadi bantuan sangat terhad.

“Kemudian bila kementerian minta kita jangan balik, duit dah habis beli tiket kapal terbang sebab masing-masing duduk jauh… Sabah, Sarawak dan dekat rumah cuma ada uncang teh saja, itu yang kita minum air teh saja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Muaz dan kawan-kawannya sekarang dibantu oleh badan sukarela yang menyalurkan makanan kepada kumpulan terjejas yang memerlukan bantuan.

Nasib sama juga dialami oleh seorang siswa universiti tempatan yang hanya berkongsi makan mi segera dan biskut selama seminggu sebelum dapat bantuan makanan penderma.

“Semasa PKP mula kami terkandas. Kebetulan duit pun tidak ada sebab pakai untuk buat tugasan. Bila kami nak beli barang makanan, di kedai pun makanan dah habis.

“Jadi kami cuma makan apa yang ada, macam mi segera kongsi dengan kawan. Bila habis mi segera kami makan biskut,” katanya, yang enggan namanya dikenali.

Menurut pelajar itu, bantuan pihak universiti hanya sampai seminggu selepas PKP bermula.

“Untuk pelajar luar kampus kami terpaksa cari makan sendiri . Pihak universiti dahulukan yang di dalam kampus,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP pada malam 16 Mac lalu, yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac.

Pada 17 Mac, semua pusat pengajian tinggi memberhentikan pengajian dan menutup kolej kediaman.

Sebahagian pelajar sempat pulang ke rumah masing-masing pada hari itu namun ada juga yang terkandas di asrama atau di rumah sewa.

Hanya pada malam 18 Mac, Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan semua pelajar perlu kekal tinggal di kampus masing-masing, selepas pihak berkuasa juga menjelaskan hanya mereka yang mendapat kebenaran polis, dan atas alasan mustahak dan perlu, dibenar keluar meninggalkan daerah.

Biarpun semua pelajar terlibat kini mendapat bantuan namun mereka dari kalangan keluarga berpendapatan rendah atau B40 bimbang pemanjangan tempoh PKP akan menyulitkan mereka membayar sewa kediaman.

Muaz berkongsi rumah bersama enam rakan dengan sewa RM600 sebulan, yang ditampungnya dengan bekerja sambilan.

“Bila ada PKP pendapatan terputus. Takkanlah selama-lama orang nak bantu. Ini yang saya risau sekarang,” katanya.

Terlepas pandang

Sukarelawan Akhmar Mahadher, 33, berkata biarpun usaha kerajaan cukup bagus membantu golongan kurang berkemampuan namun terlepas pandang nasib pelajar setelah kolej atau universiti ditutup.

Kata Akhmar, pihaknya pun hanya sedar keadaan itu apabila ada pelajar yang menghubunginya selepas melihat iklan bantuan makanan untuk keluarga yang kurang mampu.

“Saya muat naik di Twitter untuk menyebarkan usaha kami. Pada waktu itu saya dapat panggilan dari pelajar yang mereka juga mahukan bantuan walaupun hanya sebungkus mi segera.

“Dari situ saya terfikir, mereka ini tak dapat bantuan sebab mereka duduk di luar kampus, dan biasa pihak universiti hanya fokus pada yang di dalam kampus saja,” katanya.

Bersama dua rakannya, Akhmar menggerakkan bantuan tunai kerana pelajar yang menghubungi mereka tinggal di luar Kuala Lumpur.

“Pelajar yang minta bantuan dari seluruh Malaysia… ada di Perlis, di Sabah dan di Sarawak sebab itu kita beri duit. Selepas beli mereka kena tunjuk resit kepada kita,” katanya.

Penolong Pengurus Pelajar Luar Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dian Nursyabanizam Jamaludin juga mengakui pelajar luar kampus sebenarnya yang paling memerlukan bantuan.

“Pergerakan mereka terhad, dan kos sara hidup pelajar luar tinggi sebab mereka perlu bayar sewa lagi,” katanya.

Dian berkata sejak hari pertama PKP dilaksanakan pasukannya aktif menyediakan makanan kepada hampir 1,400 pelajar UiTM yang tinggal di luar kampus.

“Mereka ini yang tidak dapat balik ke kampung, termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya. – 2 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen