Pihak berkuasa agama bunuh wadah intelektual di Malaysia, kata G25


Asila Jalil

Mereka yang mahu mengadakan perbincangan mengenai Islam tidak sepatutnya dikenakan peraturan tauliah sama seperti mengajar atau berdakwah tentang Islam. Penggunaan peraturan sebegitu ke atas wadah intelektual merupakan satu “cabaran” kepada kebebasan bersuara, kata ahli pengasas G25 Mohd Sheriff Kassim. – Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2017.

PIHAK berkuasa Islam di Malaysia mengekang kebebasan bersuaran dan menghalang wadah intelektual sehingga menjejaskan masyarakat Islam negara ini, kata ahli pengasas G25 Mohd Sheriff Kassim pada satu forum hari ini.

Mengambil contoh isu penahanan penulis dan wartawan Turki, Mustafa Akyol pada September, Sheriff berkata mereka yang mahu mengadakan perbincangan mengenai Islam tidak sepatutnya dikenakan peraturan tauliah sama seperti mengajar atau berdakwah tentang Islam.

Penggunaan peraturan sebegitu ke atas wadah intelektual merupakan satu “cabaran” kepada kebebasan bersuara, katanya.

“Misalnya, ada peraturan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan majlis agama negeri seperti Selangor yang mengatakan sesorang yang mahu mengajar Islam perlu diluluskan oleh jabatan itu bagi memastikan dia mempunyai tauliah mengajar.

“Dr Farouk (Musa) dari IRF (Islamic Renaissance Forum) sudah mengatakan yang Mustafa dijemput untuk menghadiri sebuah forum dianjurkan IRF bukan untuk mengajar Islam, tetapi untuk mengadakan perbincangan intelektual mengenai Islam. Forum itu dibuka kepada orang awam untuk hadir dan terlibat sama.

“Jika kita memerlukan tauliah untuk perbincangan terbuka tentang agama, maka ia satu cabaran merbahaya kepada kebebasan bersuara di Malaysia,” kata bekas pegawai tinggi kerajaan dalam  ucap tamanya di Malaysia Freedom Summit diadakan di Petaling Jaya hari ini.

Akyol ditahan di lapangan terbang ketika menunggu penerbangan meninggalkan Malaysia dan dipanggil Jawi untuk soal siasat yang mendakwa beliau tidak mempunyai tauliah untuk mengajar Islam. Beliau sepatutnya dijadualkan terlibat dalam forum “The Islamic Jesus: The Commonalities Between Judaism, Christianity and Islam” anjuran IRF.

Sheriff berkata layanan diberikan Malaysia kepada Akyol menyebabkan seorang lagi ilmuwan Islam dari Amerika Syarikat menolak jemputan IRF dan G25 untuk sebuah forum disebabkan bimbang ditahan.

“Jika semua ilmuwan Islam takut (memikirkan) sama ada mereka akan dibenarkan bercakap atau tidak, sukar untuk (membincangkan) isu intelek yang memberi kesan kepada kemajuan sosial dan ekonomi komuniti Islam sedangkan bangsa lain sedang bergerak ke depan masuk ke dalam era baru teknologi kerana mereka mempunyai kebebasan berfikir dan bersuara,” kata Sheriff yang merupakan bekas ketua setiausaha perbendaharaan.

Menyentuh mengenai usul rang undang-undanng yang digerakkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang juga merupakan ahli Parlimen Marang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) untuk memberatkan hukuman Syariah, Sheriff mengulangi pendirian G25 yang mengatakan beberapa buah negeri melampaui bidang kuasa pentadbiran Islam mereka dengan menggubal beberapa undang-undang Syariah yang tidak perlu.

“Kami percaya yang undang-undang Syariah negeri yang menghukum dosa peribadi adalah melanggar Perlembagaan.

“Kami juga percaya yang masalah terbesar orang Melayu bukanlah dosa peribadi mereka dengan Tuhan tetapi penagihan dadah, jangkitan HIV, kanak-kanak dibuang ibu tanpa nikah, ketidakadilan terhadap wanita, rasuah dan korupsi dalam perkhidmatan awam dan dalam politik serta kemiskinan keluarga yang tak punya pekerjaan.

“ Masalah ini perlu diberikan keutamaan lebih tinggi berbanding mencipta undang-undang untuk menghukum orang Islam kerana dosa peribadi atau gaya hidup mereka,” katanya. – 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen