BADAN sukarelawan berharap agensi kerajaan dapat memastikan bantuan makanan sampai kepada mereka yang memerlukan selepas perintah kawalan pergerakan mengenakan peraturan baru melarang mereka menyampaikan bantuan secara terus.
Menteri kanan Ismail Sabri Yaakob pada 29 Mac lalu menjelaskan larangan itu adalah atas nasihat Kementerian Kesihatan demi menjaga keselamatan sukarelawan daripada terkena jangkitan Covid-19.
Dalam kalangan badan sukarela mereka bimbang masalah akan timbul jika hanya agensi kerajaan ditugaskan untuk mengagihkan bantuan. Mereka tidak yakin kerajaan ada kakitangan yang cukup, dan selebihnya risau kalau-kalau sumbangan itu lambat sampai.
Peguam Wan Farlene Wan Adib berkata bagi meringankan beban semua pihak, wajarlah badan sukarela dibenarkan membantu menyalurkan makanan kepada mereka yang memerlukan.
Sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, Wan Farlene menggerakkan Tabung Alumni Graduan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kelas 1995 yang menyalurkan bantuan makanan kepada petugas kesihatan di beberapa klinik kesihatan di Selangor, Kelantan, dan Pahang.
“Kami tempah makanan daripada katerer di kawasan terdekat dan mereka sendiri yang akan hantar makanan itu di lokasi dan waktu yang ditetapkan.
“Jika kerajaan minta kami letak di pusat pengagihan makanan setempat dan kemudian pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat yang akan mengagihkannya bagi pihak kami, bagaimana kita nak pastikan pengagihan itu dapat dihantar pada masa yang ditetapkan?
“Siapa yang akan bertanggungjawab jika makanan tidak sampai?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Masalah lain juga boleh timbul apabila ramai petugas berhimpun di pejabat JKM untuk menghantar sumbangan, tambahnya.
“Cuba bayangkan, kita bawa 80 hingga 100 pek makanan ke pejabat JKM. Di situ akan ada lagi lebih banyak NGO yang turut ingin membantu.
“Jadi orang tetap ramai, macam mana nak wujudkan penjarakan sosial?” soalnya lagi.
Peraturan baharu itu juga akan menjejaskan periuk nasi syarikat penyedia makanan yang sudahpun teruk terjejas ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.
“Dalam satu-satu tempahan, kita bukan hanya minta satu syarikat sahaja tetapi beberapa syarikat, supaya pihak katerer boleh jana pendapatan,” tambahnya.
Malah apabila NGO dapat menghantar menghantar makanan secara terus kepada penerima sasaran, JKM dan agensi kerajaan dapat memfokuskan kepada tugas lain, katanya.
Sementara itu, badan kajian dasar Galen Centre for Health & Social Policy pula berpendapat, NGO dan sukarelawan masih diperlukan kerana agensi kerajaan tidak memahami keperluan berbeza untuk setiap golongan sasaran.
Golongan NGO dan sukarelawan inilah yang lebih mahir menangani masalah logistik bagi penerima itu untuk mendapatkan bantuan, kata pegawai eksekutifnya Azrul Mohd Khalib.
Katanya, penerima yang terdedah dan berisiko itu seperti golongan yang berumur, sakit kronik, kurang upaya, pekerja migran dan pelarian.
Golongan tersebut juga sukar untuk mempercayai orang yang tidak dikenali terutamanya pihak berkuasa, tambah Azrul.
“Pihak NGO lebih mengenali lokasi dan keperluan komuniti ini. Kami lebih mahir dan berpengetahuan untuk memberikan bantuan secara terus,” jelas beliau kepada The Malaysian Insight.
Beliau turut bimbang, masalah birokrasi dengan pelbagai peringkat agihan akan merosakkan makanan sebelum sampai ke golongan sasar.
“Bantuan makanan yang diberikan oleh NGO adalah segar, atas faktor kesihatan kepada penerima.
“Kemungkinan hantaran lambat, salah atau rosak menjadi lebih tinggi apabila dikendalikan oleh pihak yang tidak mengenali kawasan dan komuniti,” kata beliau.
Azrul berpendapat, kaedah terbaik adalah pihak JKM, ATM dan anggota Rela bekerjasama dengan setiap NGO daripada segi perkongsian maklumat dan tenaga untuk menyalurkan bantuan.
Mereka mengulas larangan dinyatakan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob agar semua NGO tidak mengagih makanan secara terus kepada penerima dan hanya menghantar sumbangan makanan ke pejabat JKM.
Jelasnya, ia diputuskan atas nasihat Kementerian Kesihatan untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 terus merebak.
Beliau juga mengumumkan hanya unit Rela dan Angkatan Pertahanan Awam dibenar mengedar makanan itu kepada penerima.
Keputusan itu dibantah lebih 120 organisasi masyarakat sivil yang menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula kerana tidak yakin agensi kerajaan dapat menangani semua agihan itu.
Aktivis sosial seperti Syed Azmi Alhabshi pula berpendapat, larangan itu bukan menghalang tugas murni NGO tetapi untuk menangani wabak Covid 19 daripada terus merebak.
Beliau juga percaya agensi kerajaan cukup terlatih untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.
“Kita kena percaya bahawa JKM daerah dan anggota Rela telah dilatih dan cukup anggota untuk menjalankan tugas ini dan keselamatan mereka terjamin. Kita perlu bersikap optimistik.
“Setiap NGO perlu ambil peluang dan belajar, kita harus bersedia bila-bila masa jika kerajaan panggil untuk turun membantu.
“Memang hidup aktivis sosial penuh tentangan, tiada apa yang baharu (dalam halangan ini),” kata beliau.
Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan ramai golongan berpendapatan rendah, terutama yang meraih gaji harian tidak dapat bekerja dan putus sumber pendapatan.
Perintah yang berkuatkuasa 18 Mac itu dilanjutkan sehingga 14 April. – 1 April, 2020.
Komen