Larang NGO agih secara terus untuk elak Covid-19, kata menteri kanan


Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata bagi mengelak jangkitan Covid-19, NGO dilarang menyampaikan bantuan secara terus kepada penerima. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

Larangan kepada pasukan NGO untuk tidak menyampaikan bantuan secara terus kepada penerima dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Menteri pertahanan itu berkata, ia bagi mengelak jangkitan Covid-19 yang kini ditangani dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sebenarnya kita mendapat nasihat dari KKM kerana kita juga hendak jaga keselamatan ahli NGO dari dijangkiti Covid-19 dan merebak kepada ahli mereka dan ahli keluarga mereka.

“Sebab itulah kita buat keputusan semalam tidak boleh hantar secara terus tapi ke pusat yang ditentukan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Keputusan menghalang agihan terus kepada penerima itu dipersoal aktivis dan petugas NGO yang tidak yakin kerajaan akan dapat mengagih bantuan secara menyeluruh tanpa bantuan mereka.

Para aktivis ini turut membangkitkan, larangan itu akan membebankan lagi petugas barisan hadapan yang kini dikerah menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan mendengar keluhan berkenaan dan sedia mengadakan perbincangan lanjut dengan NGO terbabit.

“Kerajaan sangat berterima kasih kepada NGO kerana pada waktu kesusahan merekalah yang berada di depan, bukan saja waktu Covid-19 tapi banjir dan apa saja bencana.

“Semalam saya tidak kata mereka tidak boleh beri sumbangan. Tetapi mereka menyumbang ke pusat yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Ismail juga berkata penyaluran bantuan akan diselaras oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Nadma akan menguruskan penyelarasan antara agensi kerajaan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran dan pertindihan dan juga barangan yang tidak mematuhi spesifikasi.

“Orang ramai ataupun syarikat yang ingin memberikan sumbangan diminta membutirkan barang sumbang untuk memudahkan proses pengagihan oleh pihak Nadma,” katanya.

Semalam beliau berkata segala sumbangan kepada penerima sasaran perlu disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap daerah.

Agihan pula akan disampaikan oleh anggota Rela dan Angkatan Pertahanan Awam, katanya.

Beliau juga berkata peruntukan RM5.8 juta disediakan untuk agihan makanan percuma kepada penerima yang layak.

Perintah Kawalan Pergerakan kini berkuatkuasa sejak 18 Mac sehingga 14 April untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Setakat semalam, seramai 2,320 didapati positif Covid-19 di Malaysia dan 27 daripadanya terkorban.

Seramai 1,973 sedang dirawat dan 73 daripadanya sedang menjalani rawatan di unit rawatan rapi.

320 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Perintah Kawalan Pergerakan kini berkuatuasa sejak 18 Mac sehingga 14 April untuk memutuskan rantaian jangkitan.– 29 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen