Kementerian Kesihatan teliti dulu tatacara bazar Ramadan, kata Noor Hisham


Noel Achariam

Bazar Ramadan mungkin boleh dibenarkan jika ia mematuhi peraturan dan garis panduan bagi memastikan ia tidak menyumbang kepada penyebaran Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2020.

BAZAR Ramadan di Kuala Lumpur boleh diteruskan sekiranya semua garis panduan (SOP) Kementerian Kesihatan dipatuhi, termasuk langkah-langkah memastikan orang ramai mengekalkan jarak yang selamat antara satu sama lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kalau pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mematuhi peraturan dan garis panduan itu, bazar Ramadan di ibu negara mungkin akan dibenarkan.

“Kawalan orang ramai itu mustahak dan umumnya kita perlu melihat pada pelaksanaannya.

“Selagi mereka boleh mengikuti SOP untuk mengelakkan kontak, ada jarak yang sesuai antara orang ramai serta mencuci tangan dan mengawal seluruh kawasan berkenaan.

“Kalau itu dilakukan mungkin kita akan benarkan,” kata Noor Hisham pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham diminta mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa bahawa pihaknya sedang meneliti pengurusan bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan yang wajar ketika negara berdepan penularan pandemik Covid-19.

Kenyataan Annuar itu bagaimanapun dikecam oleh umum, yang merasakan tidak wajar, tidak munasabah dan boleh ditiadakan kerana ancaman besar Covid-19.

Dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka minggu lalu mengumumkan larangan penganjuran bazar Ramadan, pada bulan puasa yang dijangka bermula 24 April ini.

Annuar sebelum itu berlaku pihaknya belum lagi mahu melarang bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan hanya kerana ada negeri lain yang melarangnya.

Beliau berkata pihaknya masih memikirkan tentang keperluan sesetengah warga kota yang tidak sempat menyiapkan juadah berbuka puasa kerana kerja dan sebagainya. – 31 Mac, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tiada lesen bazaar tahun ni

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan