Dua negeri larang bazar Ramadan, lapor media


Negeri Sembilan dan Melaka dilaporkan melarang operasi Bazar Ramadan tahun ini, Johor sedang mempertimbangkan larangan sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka sudah memutuskan tidak akan memberi kebenaran untuk bazar Ramadan beroperasi pada bulan puasa ini, bagi membantu menyekat penularan pandemik Covid-19, lapor media.

Sebuah badan pengguna di Johor pula menggesa pihak berkuasa negeri mengenakan larangan sama.

Bagaimanapun bagi Negeri Sembilan, mereka yang hendak berniaga boleh berbuat demikian dari rumah tetapi terhad untuk penghantaran atau bungkus bawa pulang.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dipetik berkata keputusan itu dibuat kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah dilanjutkan sehingga 14 April, dekat dengan bermulanya Ramadan.

Umat Islam dijangka akan memulakan ibadat puasa pada 23 April ini.

“Mungkin kita boleh jangka menjelang hari akhir PKP nanti, kes Covid-19 di negara kita sudah menurun, tetapi kita tidak boleh ambil mudah dengan buka ruang seperti di bazar Ramadan yang akan membolehkan rakyat kembali mudah terdedah kepada wabak itu semula.

“Pihak berkuasa tempatan perlu mengambil perhatian mengenai keputusan ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dalam satu pekeliling memaklumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan lesen perniagaan untuk bazar Ramadan tahun ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Kerajaan Negeri Melaka telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan aktiviti pasar dan bazar Ramadan diadakan di seluruh negeri Melaka bagi tempoh bulan Ramadan tahun ini,” kata pekeliling itu, yang tersebar di media sosial.

Pekeliling itu bertarikh semalam. Notis dengan makluman sama juga dipaparkan di akaun Facebook milik Unit Media Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah malam tadi.

Sementara itu, Persatuan Pergerakan Pengguna Johor menggesa pihak berkuasa negeri melarang penganjuran bazar Ramadan, lapor The Star.

Katanya, peniaga tidak wajar memikirkan peluang untuk sumber pendapatan saja sehingga menggadai keselamatan banyak pihak.

“Ribuan pelanggan memenuhi bazar ini setiap hari sepanjang Ramadan dan ini bahaya,” kata pengerusinya Md Salleh Sadijo.

Putrajaya menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu dan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu daripada jadual asal berakhir 31 Mac.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 26 kematian akibat Covid-19, daripada 2,161 kes yang disahkan positif.

Daripada jumlah itu, 259 kes telah sembuh. – 28 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen