Peguam pertahan cadangan DBP terbit terjemahan rasmi Bible


Bede Hong

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah enggan menarik balik cadangannya supaya DBP menerbitkan terjemahan rasmi Bible dalam Bahasa Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2017.

PEGUAM yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (Mais) enggan menarik balik cadangannya agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan terjemahan rasmi Bible dalam Bahasa Melayu, biarpun cadangannya itu dibantah keras oleh pemimpin agama Kristian.

Mohamed Haniff Khatri Abdullah sebaliknya mengalu-alukan maklum balas “bernas” terhadap kenyataannya di mahkamah pada Rabu bahawa DBP boleh mengeluarkan terjemahan rasmi Bible dalam Bahasa Melayu untuk membetulkan kesilapan penggunaan kalimah Allah sebagai ganti perkataan untuk Tuhan.

Pemimpin politik beragama Kristian dan pemimpin gereja, termasuk sebuah badan pelbagai agama, membidas kenyataan Haniff dengan menyifatkannya sebagai melampau.

“Sebagai pengamal undang-undang dan pegawai mahkamah yang menghormati hak semua pihak untuk memberikan komentar adil dan kenyataan bernas, saya ingin menegaskan kepada semua pihak terlibat bahawa saya tetap berpegang pada kenyataan saya di mahkamah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Saya tidak boleh minta maaf kepada Biskop Melter Jiki Tais, yang mahu saya minta maaf atas kenyataan saya di mahkamah,” katanya, merujuk kepada presiden Majlis Gereja Sabah itu.

“Saya mengalu-alukan maklum balas kerana ini satu perbincangan intelektual, dan komentar adil oleh pihak yang ada kaitan dengan prosiding mahkamah itu.

“Perbincangan seperti ini mesti digalakkan dan tidak harus dianggap sebagai sub judice kerana mahkamah belum lagi membuat sebarang keputusan berkenaan kes itu.

“Saya seru semua pihak untuk menunggu dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

Haniff membuat cadangan itu pada pendengaran kes yang dikemukakan oleh Jill Ireland Lawrence Bill terhadap menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia menyentuh haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

Haniff berkata penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tersalah menggunakan kalimah Allah sebagai ganti perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu. Beliau berhujah mereka sepatutnya menggunakan perkataan “Tuhan” dan ini tidak sama sekali mencabul hak perlembagaan mereka.

Tais berkata kenyataan Haniff itu “sangat menghina” bagi penganut Kristian.

“Kami sangat kesal dengan kenyataannya itu dan mendesak beliau meminta maaf,” katanya.

Beliau menyifatkan cadangan Haniff itu menunjukkan beliau “tidak tahu tentang agama serta tafsiran yang sebenar perkataan dalam Bible”.

Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menolak cadangan Haniff sebagai “tidak masuk akal”.

Majlis itu berpendapat jika DBP dibenarkan untuk menterjemahkan Bible, agensi itu juga nanti perlu menyemak semula kitab suci agama lain, kerana kalimah Allah juga dipakai dalam kitab agama Sikh. – 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pihak bertanggungjawab seharusnya duduk berbincang mengenai perkara ini kerana ianya melibatkan isu agama dan perlembagaan. perbezaan antara semenanjung dengan sabah dan sarawak mungkin menjadikan isu ini merumitkan. Hakikatnya , membangkitkan sentimen di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malah semangat Perjanjian 20 Perkara yang bersama-sama dipersetujui oleh rakyat Persekutuan Tanahmelayu, Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia pada tahun 1963.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan