VETERAN DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memanggil sidang tergempar Parlimen selama dua hari untuk membahaskan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat yang diumumkan semalam.
Kit Siang berkata sidang tergempar Dewan Rakyat perlu diadakan untuk meluluskan pakej tersebut supaya ia berkredibiliti dan sah.
Semalam Muhyiddin mengumumkan pakej bernilai RM250 bilion bagi mengurangkan kesan pandemik Covid-19.
Tiada golongan yang akan tercicir, katanya ketika mengumumkan secara langsung melalui televisyen.
Daripada RM250 bilion itu, RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.
“Tiada perkara lain tidak harus dimasukkan ke dalam sidang tergempar itu, sama ada sesi soal-jawab, usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, pelantikan speaker baru atau urusan lain, melainkan perbahasan untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi.
“Perbahasan juga akan membolehkan ahli Parlimen menyampaikan pandangan rakyat berkait perang melawan Covid-19 dan krisis berganda membabitkan kesihatan awam, ekonomi dan komunikasi akibat penularan wabak itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pakatan Harapan (PH) semalam turut menggesa sidang Parlimen diadakan supaya pembangkang dan kerajaan dapat bekerjasama menangani isu ekonomi dan krisis kesihatan akibat Covid-19.
Pemimpin PH berkata situasi ketika ini perlu ditangani bersama dan perbezaan politik hendaklah diketepikan buat masa ini.
“Pakatan Harapan bersedia untuk memberi kerjasama jika kerajaan memulakan langkah dwipartisan yang tulus dan ikhlas,” kata Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama semalam.
Selain itu, Kit Siang yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri, turut mengkritik infografik 24 muka surat mengenai pakej tersebut yang memaarkan maklumat tidak tepat.
“Infografik itu menunjukkan bahawa di seluruh dunia, pandemik Covid-19 mencatatkan 434,000 kes dengan kira-kira 20,000 kematian, sedangkan pada masa Muhyiddin menyampaikan pengumuman langsungnya, jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia telah melepasi angka setengah juta orang, iaitu mencecah 536,639 kes dengan 124,414 kematian.”
Lim juga berkata penggunaan unjuran berdasarkan kajian Imperial College London bahawa jika pandemik Covid-19 tidak dikawal, maka akan berlaku 2.2 juta kematian di Amerika Syarikat dan 510,000 di United Kingdom adalah tidak bertanggungjawab dan menggemparkan.
“Kesemua perkara ini dan idea mengenai strategi kesihatan awam yang lebih berkesan untuk membendung wabak Covid-10 di Malaysia dan penggerakan semula enjin ekonomi negara ini hendaklah dibahaskan dalam sidang khas Parlimen yang mesti diadakan dalam tempoh 1 atau 2 minggu ini,” katanya. – 28 Mac, 2020.
Komen