PAKATAN Harapan hari ini menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang Parlimen agar mereka boleh bekerjasama untuk menangani isu ekonomi dan krisis kesihatan berpunca daripada pandemik Covid-19.
Pemimpin PH yang turut menyambut baik nada berdamai Muhyiddin berhubung pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan hari ini bagaimanapun berkata, kerajaan baharu perlu mencari pendekatan yang dwipartisan bagi mengendalikan krisis.
Pemimpin PH berkata gabungan pemerintah baharu, Perikatan Nasional dan GPS perlu mengetepikan persaingan politik pada ketika ini.
“Pakatan Harapan bersedia untuk memberi kerjasama jika Kerajaan memulakan langkah dwipartisan yang tulus dan ikhlas,” kata Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama.
Tambah mereka, pakej yang diumumkan itu hanya baik untuk dua bulan, Pakatan Harapan menyeru kerajaan, atas semangat dwipartisan sejati untuk meneruskan persidangan Parlimen pada 18 Mei 2020, atau membawanya ke hadapan, sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.
“Hal ini adalah dapat membolehkan kerajaan dan pembangkang membentuk pelan tindakan secara dwipartisan supaya negara bergerak ke hadapan, termasuk merangka Belanjawan baharu dengan mengambil kira semua senario dan faktor yang terlibat.” – 27 Mac, 2020.
Komen