PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memilih Malaysia untuk penyelidikan dan pengumpulan data bagi menghasilkan ubat untuk merawat pesakit Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Kita akan menjalankan penyelidikan untuk ubat baharu yang digunakan dalam merawat pesakit Covid-19,” katanya di Putrajaya hari ini.
“Penyelidikan ini akan dijalankan di Hospital Sungai Buloh dan hospital lain yang dikenal pasti sebagai pusat Covid-19.
“Malaysia akan dijadikan salah satu kawasan untuk pengumpulan data dan rawatan bagi pesakit yang dijangkiti.”
WHO dan pegawai Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan malam ini berhubung perkara itu, tambah Dr Noor Hisham.
Hari ini dua lagi kematian dilaporkan akibat koronavirus, menjadikan jumlah keseluruhan 26 kematian setakat hari ini.
Malaysia turut merekodkan 130 kes baharu setakat tengah hari, menjadikan jumlah kes sebanyak 2,161.
Bagaimanapun, 259 kes dilaporkan telah sembuh dan keluar daripada hospital. – 27 Mac, 2020.
Komen